KUALA LUMPUR – Dalam penampilan pertama selepas kali terakhir berucap di Universiti Malaya empat dekad lalu, Lim Kit Siang tidak berganjak daripada perjuangan menuntut kesamarataan apabila beliau bertegas mahu Malaysia menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Penasihat DAP itu bagaimanapun menjelaskan bahawa raktifikasi konvensyen itu perlu difahami terlebih dahulu oleh rakyat negara ini sebelum mereka boleh memberi sokongan untuk kerajaan menyertai negara-negara lain yang telah berbuat demikian.
Kit Siang yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-78 Februari depan berkata, majoriti rakyat Malaysia perlu menyokong triti itu dan memahami bahawa ia tidak mengancam mana-mana kaum, agama atau Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu, baharulah ia boleh dilaksanakan.
Meskipun berpendapat ICERD mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang mampu melangkah ke depan dalam menyertai komuniti global bagi mendukung hak asasi manusia, namun bagi Kit Siang, keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak meratifikasinya buat masa ini adalah wajar.
“Malaysia adalah negara yang mempunyai masyarakat majmuk berbilang kaum.
“Justeru, untuk menjadi sebuah negara yang harmoni kita perlu membebaskan negara ini dengan prinsip masyarakat majmuk itu.
“Jadi kita kena ratifikasikan ICERD, tetapi biarlah majoriti rakyat menyokong” katanya.
Kit Siang berkata demikian ketika menggunakan pentas menyampaikan ucaptama pada program bual bicara ‘Malaysia Baharu, Politik Lama’ di Universiti Malaya hari ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut menjadi panel program berkenaan yang turut dihadiri tiga lagi ahli panel iaitu Pakar Ekonomi, Profesor Jomo Kwame Sundaram dan Edmund Terence Gomez serta bekas ketua pegawai operasi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Idea), Tricia Yeoh.
Mengulas lanjut Kit Siang berkata, ICERD telah dilaksanakan di banyak negara yang bergabung dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tanpa menghadapi sebarang masalah.
“Cuma di Malaysia ini berlaku pertikaian apabila sesetengah pihak cuba menyukarkan untuk ia dilaksanakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette