Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR: Polis meminta dan menasihatkan para peserta Himpunan Ummah bagi menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) agar tidak mencetuskan sebarang provokasi.

Namun, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

“PDRM telah membuat persiapan rapi dan berharap semuanya berjalan dengan baik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berkhatan Perdana PDRM di Bukit Aman.

Menurut beliau, polis sudah membuat pemantau rapi sejak awal pagi ini dan sehingga pagi esok.

Himpunan Ummah secara aman itu akan berlangsung di tiga check point iaitu di Masjid Jamek, Sogo dan Masjid Negara sebelum berkumpul di Dataran Merdeka.

Ia dijadualkan bermula pada pukul 2 petang hingga 6 petang ini.

Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim memaklumkan akan menutup enam jalan di ibu negara yang bermula 6 pagi hari ini bagi memberi ruang kepada peserta berhimpun di Jalan Raja di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad dan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. – MalaysiaGazette