KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup hampir di paras terendahnya dalam tempoh dua tahun hari ini dengan indeks utama merosot 1.025 peratus, apabila kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China memuncak yang menjejaskan sentimen di seluruh dunia, kata para peniaga.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 17.23 mata kepada 1,663.31 selepas turun naik antara paras 1,662.81 dan 1,674.67 sepanjang hari dagangan.
Petunjuk pasaran saham itu ditutup rendah kepada 1,663.03 pada 17 Jan tahun lepas.
Penurunan dalam saham Sime Darby Plantation dan CIMB menyeret turun indeks komposit itu sebanyak 4.744 mata selepas masing-masing jatuh 21 sen kepada RM4.48 dan 13 sen kepada RM5.65.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 612 berbanding 194, manakala 332 kaunter tidak berubah, 731 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.65 bilion unit bernilai RM1.37 bilion daripada 1.91 bilion unit bernilai RM1.51 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Seorang peniaga berkata, aliran menurun Bursa itu seiring dengan prestasi kebanyakan bursa Asia lain yang masih rendah sejak minggu lepas dalam keadaan pasaran saham AS yang tidak menentu ditambah dengan kebimbangan terhadap pertumbuhan global.
“Meskipun harga minyak yang lebih baik, saham di Bursa dan pasaran saham Asia berada di bawah tekanan apabila ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing terus menjejaskan sentimen.
“Mereka (pelabur) bimbang peningkatan ketegangan antara kedua-dua ekonomi besar dunia itu boleh menjejaskan peluang janji niaga perdagangan,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun setengah sen kepada RM9.37, Public Bank susut 10 sen kepada RM24.70, Tenaga berkurangan 14 sen kepada RM13.56, manakala Petronas Chemicals jatuh satu sen kepada RM9.19.
Dalam kalangan kaunter cergas, Tatt Giap dan Bumi Armada susut satu sen setiap satu masing-masing kepada setengah sen dan 15.5 sen, Prestariang turun 15 sen kepada 30.5 sen. Sanichi berkurangan setengah sen kepada 13.5 sen, manakala MyEG jatuh sembilan sen kepada RM1.05.
Indeks FBM Emas Shariah turun 146.48 mata kepada 11,461.75, Indeks FBM Ace susut 87.99 mata kepada 4,596.26, dan FBM 70 berkurangan 203.16 mata kepada 13,319.83.
Indeks FBM Emas turun 134.04 mata kepada 11,463.5 dan Indeks FBMT 100 jatuh 130.47 mata kepada 11,349.45.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 152.88 mata kepada 6,682.23, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.74 mata kepada 168.3 dan Indeks Perkhidmatan kewangan berkurangan 159.12 kepada 17,275.91.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.12 bilion saham bernilai RM1.26 bilion daripada 1.391 bilion saham bernilai RM1.392 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Jumlah dagangan waran menambah kepada 345.03 juta unit bernilai RM81.35 juta daripada 306.09 juta unit bernilai RM75.48 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 187.23 juta saham bernilai RM31.29 juta berbanding 215.14 juta saham bernilai RM39.49 juta.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 143.25 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.3 bilion), pembinaan (55.54 juta), teknologi (187.47 juta), SPAC (15,200), perkhidmatan kewangan (23.93 juta), hartanah (74.02 juta), perladangan (18.96 juta), REITs (2.72 juta), dana tertutup (24,000), tenaga (191.39 juta), penjagaan kesihatan (35.14 juta), telekomunikasi dan media (23.49 juta), pengangkutan dan logistik (45.61 juta), dan utiliti (16.41 juta). – MalaysiaGazette