P. Waytha Moorthy
P. Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy mendedahkan dirinya tidak mempunyai ‘apa-apa’ harta terkumpul untuk diisytiharkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jelasnya, beliau bukan sengaja tidak melakukan pengisytiharan harta seperti yang dikehendaki oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebaliknya tidak mempunyai apa-apa untuk diisytiharkan.

Waytha mendedahkan, walaupun sebelum berkecimpung dalam dunia politik beliau merupakan seorang peguam namun setiap wangnya telah dihabiskan untuk tujuan perjuangan beliau.

“Bukan saya tidak mahu isytihar harta, saya tidak ada apa-apa.

“Kebenarannya, sejak menjadi aktivis, kesemua pendapatan dan simpanan yang ada itu telah saya gunakan untuk tujuan perjuangan, banyak yang telah dibelanjakan ketika itu lagi.

“Dulu saya peguam, ketika itu semua pendapatan telah dibelanjakan untuk melakukan kerja-kerja aktiviti saya, semuanya untuk merealisasikan perjuangan yang saya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Berdasarkan Portal Pengisytiharan Harta, semakan mendapati beberapa anggota parlimen hanya mengisytiharkan jumlah pendapatan bulanan tetapi tidak mengisytiharkan jumlah aset.

Selain daripada Waytha Moorthy, Menteri yang tidak istiyar aset termasuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi dan Datuk Liew Vui Keong. – MalaysiaGazette