Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Stok minyak sawit Malaysia pada November meningkat 10.45 peratus kepada 3.01 juta tan metrik daripada 2.72 juta tan metrik pada Oktober.

Stok minyak sawit mentah (MSM) meningkat 10.91 peratus kepada 1.79 juta tan metrik semasa bulan itu daripada 1.61 juta tan metrik pada bulan sebelumnya.

Stok minyak sawit diproses naik sebanyak 9.79 peratus kepada 1.22 juta tan metrik daripada 1.11 tan metrik sebelumnya, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam laporan “Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia bagi Bulan November 2018” yang dikeluarkan di sini, hari ini.

MPOB berkata, bagaimanapun MSM turun 6.09 peratus kepada 1.85 juta tan metrik pada November daripada 1.96 juta tan metrik pada bulan sebelumnya.

Pengeluaran isirung sawit juga jatuh sebanyak 6.99 peratus kepada 451,725 tan metrik pada November berbanding 485,666 tan metrik pada Oktober.

MPOB berkata, eksport minyak sawit susut 12.87 peratus kepada 1.38 juta tan metrik pada November daripada 1.58 juta tan metrik pada Oktober, manakala eksport oleokimia berkurangan 12.05 peratus kepada 246,964 tan metrik daripada 280,806 tan metrik.

Eksport minyak isirung sawit meningkat sebanyak 28.76 peratus kepada 99,640 tan metrik daripada 77,385 tan metrik dalam bulan sebelumnya dan eksport dedak isirung sawit jatuh 26.42 peratus kepada 166,217 tan metrik daripada 225,901 tan metrik.

Pada November, eksport biodiesel berkurangan 21.06 peratus kepada 44,091 tan metrik berbanding 55,857 tan metrik pada Oktober. – MalaysiaGazette