Fuziah Salleh. foto MIRZA HASIM, 9 OGOS 2018
Fuziah Salleh

KUANTAN – Amalan pemberian kuota kepada menteri dan anggota Parlimen serta surat sokongan untuk mengerjakan haji telah pun dihentikan mulai musim haji tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Perkara itu, katanya dicapai menerusi persetujuan Kabinet supaya kuota 30,200 orang yang diperuntukkan kerajaan Arab Saudi untuk mengerjakan haji dinikmati mereka yang benar-benar layak.

“Apabila kuota ini diberikan pula kepada pihak tertentu, jadi kuota untuk rakyat sudah menjadi semakin sedikit sehingga menyebabkan tempoh menunggu menjadi terlalu panjang… sehinggakan ada yang sudah uzur baru dapat mengerjakan haji.

“Jika kuota yang diberikan kepada pihak tertentu walaupun jumlahnya hanya 50, kadang-kadang berlaku ada yang menjual kepada mereka yang mahukan kuota haji. Akhirnya mereka mengambil hak orang yang layak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Komuniti Bersama Anggota Parlimen Kuantan di sini, semalam.

Beliau menambah, pemberian surat sokongan untuk memudahkan permohonan mengerjakan haji juga dihentikan selari dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan yang tidak mahu amalan itu menjadi kebiasaan.

“Jika ada rayuan (dalam permohonan untuk menunaikan haji), kami hanya akan memanjangkannya untuk pertimbangan pihak terlibat namun ia masih dilakukan mengikut prosedur. Hanya mereka yang layak diberi pertimbangan dan tiada lagi layanan khas,” katanya.

Pada perkembangan lain, Fuziah berkata, isu guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang akan diserapkan ke jawatan tetap dijangka dapat diselesaikan pada pertengahan tahun hadapan, memandangkan kajian berkaitan hal itu siap pada Mac.

Beliau menjangkakan isu itu akan mengambil masa selama sebulan untuk dibincangkan oleh Jemaah Menteri, dan jika lancar, berkemungkinan 5,000 orang daripada 31,460 guru KAFA akan menjadi kumpulan pertama menikmati kemudahan itu.

“Analisis yang dijalankan mendapati kebanyakan mereka mempunyai ijazah atau diploma dalam Bahasa Arab atau Pengajian Islam. Kita mungkin menawarkan skim gred S29 iaitu kelulusan Diploma kepada mereka yang diserapkan, walaupun mempunyai ijazah.

“Lulusan Sijil Pelajaran Malaysia mempunyai pengalaman dan tidak sanggup untuk menyambung pelajaran ke peringkat diploma, mungkin ditawarkan gred S19, namun dengan syarat mendapatkan kelulusan jemaah menteri kerana perkara ini tiada dalam pembentangan Bajet 2019 lalu,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast