Sebahagian perwakilan yang hadir mendengar Ucapan Penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 29 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Mana-mana pemimpin UMNO yang terlibat dalam merancang kepada situasi getir dalam parti itu termasuk yang lompat atau keluar parti merupakan pengkhianat kepada bangsa Melayu.

Golongan itu bukan sahaja tidak memiliki integriti tetapi juga seorang individu yang pecah amanah.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, dakwaan itu berasas kerana golongan ini sanggup membiarkan diri dijadikan alat atau dipergunakan untuk menghancurkan parti yang menaungi orang Melayu selama lebih 60 tahun.

“Waima apapun strategi atau perancangan mahupun tujuan mereka dalam permainan politik, untuk belot kepada parti yang menaungi orang Melayu memang sukar diterima sama sekali oleh akar umbi.

“Parti itu (UMNO) yang mendukung kemenangan mereka pada Pilihan Raya Umum lalu. Mereka dicalonkan sebab parti, mereka berkempen dengan menggunakan jentera UMNO, tenaga ahli-ahli UMNO dan wang parti.

“Mereka yang menang pun sebab disokong oleh penyokong parti. Jadi, golongan ini adalah pengkhianat kepada parti dan orang Melayu kerana parti ini adalah parti milik Melayu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ramlah berkata, kalau pun ada dalam kalangan pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak suka dengan parti itu tetapi jangan sesekali ‘membunuh’ kekuatan orang Melayu.

Katanya, walaupun Pas juga adalah parti Melayu tetapi kekuatannya tidak sama dengan UMNO, lantaran itu parti itu ‘dibunuh’ dengan cara begitu.

Jelasnya, pemimpin yang tahu dan menghayati sejarah orang Melayu, pastinya tidak akan cuba melenyapkan UMNO yang merupakan parti induk orang Melayu.

“Bagaimana ada pemimpin dalam UMNO mahu memusnahkan ‘induk’ sendiri, ‘ibu’ kepada bangsa Melayu?,” soalnya.

Diminta meramalkan nasib jangkan panjang parti itu, Ramlah berkata, walaupun UMNO melalui ujian getir tetapi beliau yakin sukar untuk UMNO berkubur.

Jelasnya, individu yang bertindak keluar UMNO sekitar 25 peratus sahaja dan parti itu masih memiliki 75 peratus lagi yang setia.

Lagipun, mereka yang tidak setia kepada UMNO bukan penentu kepada kewujudan UMNO, sebaliknya adalah cawangan-cawangannya.

“Selagi ada cawangan, selagi itu UMNO ada pengikutnya. Kalau pun ada cawangan dibubarkan kerana keluar parti, sentiasa ada ruang untuk mewujudkan cawangan yang baharu. Macam yang berlaku pada UMNO Sabah.

“Dengan adanya pengganti ini, UMNO akan dibarisi oleh kepimpinan baharu yang bakal mencorakkan parti itu,” kata Ramlah yang menyifatkan parti itu tidak sukar mencari pengganti berdasarkan trek rekodnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast