Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Pengambilan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) mulai sesi kemasukan 2019 akan memberi lebih peluang kepada anak-anak daripada keluarga B40 dengan jangkaan penawaran kepada golongan tersebut sehingga 60 peratus daripada keseluruhan penempatan.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, mulai tahun hadapan, pihaknya memutuskan untuk mengembalikan semula semangat SBP iaitu membantu pelajar-pelajar berpotensi golongan B40, selari dengan dasar kerajaan baharu untuk terus membantu golongan kurang berada memperoleh kemudahan pendidikan berkualiti.

“Justeru itu, pengambilan kali ini akan memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak keluarga B40 sama ada dari kawasan luar bandar, miskin kota dan anak-anak anggota beruniform,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kementerian berkata, penawaran ke Tingkatan 1 (2019) juga mengambil kira beberapa faktor lain seperti pemilihan SBP oleh pemohon, kapasiti enrolmen sesebuah SBP, jantina dan lokaliti pemohon.

Katanya, untuk pengambilan 2019, KPM telah menerima sebanyak 77,487 permohonan kemasukan ke SBP dan daripada jumlah ini, 21,841 telah dikenal pasti melepasi syarat-syarat asas kelayakan.

KPM berkata, antara syarat kelayakan adalah warganegara Malaysia, mencapai tahap pencapaian minimum dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), menduduki dan mencapai aras toleransi (65 peratus) dalam Ujian Kemasukan Sekolah Berasrama Penuh (UKSBP) dan mencapai merit Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Psikometrik.

“KPM memberi komitmen untuk memastikan murid daripada kelompok B40 diberi peluang semaksimum mungkin bagi mendapat pendidikan yang lebih teratur dalam persekitaran kondusif seperti yang berupaya ditawarkan di SBP,” katanya.- Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast