Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan November 2018 meningkat 0.2 peratus kepada 121.0 berbanding 120.8 pada bulan yang sama tahun lalu.

Kenaikan indeks keseluruhan ini disebabkan oleh kenaikan harga bagi kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.0 peratus), pendidikan (+1.4 peratus), restoran & hotel (+1.2 peratus), makanan & minuman bukan alkohol (+1.1 peratus) dan minuman alkohol & tembakau (+1.0 peratus).

Perbandingan bulan ke bulan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding bulan Oktober 2018. IHP bagi tempoh Januari-November 2018 mencatatkan kenaikan sebanyak 1.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Mahidin Uzir berkata, secara keseluruhannya, indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 1.1 peratus pada November 2018.

Kenaikan ini didorong oleh kenaikan subkumpulan sayur-sayuran (+0.8 peratus), ikan & makanan Laut (+0.5 peratus) dan buah-buahan (+0.2 peratus).

Manakala, indeks bagi subkumpulan gula, jem, madu, coklat & manisan turun 2.3 peratus diikuti oleh subkumpulan daging (-2.2 peratus) dan subkumpulan minyak & lemak (-0.7 peratus).

Kenaikan ini adalah disebabkan oleh indeks barangan yang menunjukkan kenaikan di kebanyakan negeri seperti bayam (+9.3 peratus), ketam (+6.7 peratus), sawi (+6.1 peratus), ikan tenggiri (+3.1 peratus), ikan merah (+2.3 peratus), ikan bilis kering (+1.9 peratus), kobis bulat (+1.6 peratus), udang (+1.3 peratus), epal (+0.8 peratus), pisang (+0.7 peratus) dan ubi kentang (+0.2 peratus).

Sementara itu, indeks makanan di luar rumah meningkat 3.3 peratus pada November 2018 berbanding November 2017, didorong oleh kenaikan harga burger, ayam goreng dan nasi campur.

Katanya, secara keseluruhan, empat negeri melepasi paras IHP nasional 0.2 peratus yang dicatatkan pada November 2018 berbanding November 2017 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+1.2 peratus), Negeri Sembilan (+0.6 peratus), Pulau Pinang (+0.6 peratus) dan Johor (+0.3 peratus).

Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan kenaikan yang sama dengan paras indeks nasional.

Kenaikan indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol dicatatkan di kebanyakan negeri di Malaysia.

Empat negeri mencatatkan kenaikan indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol melebihi paras indeks nasional (+1.1 peratus) bagi November 2018 berbanding bulan yang sama tahun 2017.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menunjukkan kenaikan 4.8 peratus, diikuti oleh Negeri Sembilan (+1.5 peratus), Pulau Pinang (+1.3 peratus) dan Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (+1.2 peratus).

Indeks teras November 2018 menunjukkan kenaikan 0.5 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kenaikan harga dalam kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (+2.3 peratus), makanan & minuman bukan alkohol (+1.5 peratus), pendidikan (+1.4 peratus) dan restoran & hotel (+1.2 peratus).

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal mencatatkan perubahan dalam julat antara -0.2 peratus hingga 2.2 peratus dalam tempoh Januari hingga November 2018 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette