Datuk Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa wujud perancangan untuk menggulingkan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Ujarnya, ia dijalankan oleh individu yang kecewa kerana tidak mendapat jawatan dalam Kabinet Dr Mahathir selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Putrajaya, Mei lalu.

“Saya dapat menghidu tindakan tidak bertanggungjawab puak-puak yang kecewa tidak dapat jawatan yang sedang berusaha untuk menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri.

“Namun, puak-puak ‘tahi kucing’ ini terlalu kerdil bagi saya. Bukan niat saya untuk bersikap angkuh tetapi kalangan ini boleh dilipat-lipat masuk dalam kocek seluar saja.

“Mereka ini ‘pot tin’ kosong yang pandai bercakap tapi tak boleh bekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu mengulas mengenai kritikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul terhadap Mahathir yang didakwa seperti tidak tahu berbuat apa-apa dan hanya menghabiskan masa ke luar negara selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum (PRU) lalu.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, kegagalan memahami konsep Malaysia Baharu menyebabkan kerajaan PH kini seolah-olah mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu dan sekali gus menyebabkan rakyat kecewa.

Johari turut menggesa Mahathir agar berhenti bermain isu Najib sebagai ‘pencuri’ sedangkan bekas Perdana Menteri itu sudah dihadapkan ke mahkamah.

“Dr Mahathir hanya mengulangi ucapan yang sama bahawa Najib mencuri. Cukuplah, dia pun sudah ke mahkamah, biar mahkamah yang tentukan,” kata Johari.

Dalam pada itu Khairuddin turut menggesa golongan yang mengkritik Dr Mahathir agar tidak bersifat kuang ajar dan menilai kerja kuat Pengerusi PH itu dalam memimpin negara.

“Kalangan yang tidak mahu mengiktiraf kerja kuat Tun Dr Mahathir tolong jangan ‘kurang ajar’ dan usah melebih sangat.

“Perdana menteri yang sedang bertungkus lumus siang dan malam untuk membangunkan semula negara yang dirosakkan oleh kerajaan kleptokrasi memerlukan sokongan padu dari semua pihak,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast