PUTRAJAYA – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diberi pengiktirafan sebagai tiang seri parti itu.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti merakamkan penghargaan kepada sayap itu yang tetap setia berjuang untuk parti.
Jelas beliau, ketika Bersatu sedang bertatih, Srikandi turun ke segenap ceruk pekan dan desa membantu parti untuk menambah ahli dan membaca sikap pengundi.
“Srikandi Bersatu tidak pernah lemah semangat berdepan dengan parti lawan. Walaupun jumlah mereka jauh lebih besar, saudari-saudari semua tetap cekal mara ke hadapan menembusi kubu parti mereka.
“Alhamdulillah, dengan kesetiaan dan kecekalan semangat saudari-saudari semua, parti kita beroleh kemenangan.
“Melangkah ke hadapan, Srikandi mestilah terus membina kekuatan. Tambah ahli seramai mungkin dan minat wanita Melayu dan bumiputera untuk menyertai Bersatu.
“Dekati mahasiswi di kampus, kumpulan wanita profesional di bandar, golongan wanita di pekan dan desa. Cari mereka yang berbakat untuk menyertai Srikandi. Di mana sahaja ada wanita, di situ mesti ada Srikandi,” katanya.
Antara perwakilan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang hadir pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 28 DISEMBER 2018.Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Srikandi dan Armada sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.
Perhimpunan yang bermula hari ini hingga Ahad berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Lebih 1,000 perwakilan hadir melibatkan 99 bahagian Srikandi manakala 115 pula adalah Armada.
Mengulas lanjut, Muhyiddin mahu Srikandi memperkukuhkan perpaduan sesama ahli dan keupayaan sayap itu untuk melaksanakan gerak kerja parti dengan tersusun.
Beliau percaya berbekalkan semangat yang cekal dan kesetiaan untuk berbakti kepada parti, Srikandi akan menjadi sayap parti yang teguh.
Sementara itu dalam ucapan sama, Muhyiddin menyifatkan Armada sebagai tonggak utama Bersatu.
Jelasnya, pengiktirafan perlu diberikan kepada Armada sebagai sayap parti yang hebat.
“Sepanjang kita berjuang untuk menewaskan kerajaan kleptoktrat Barisan Nasional, andalah yang berada di barisan paling hadapan membawa panji-panji parti.
“Kita tentunya masih ingat Armada diserang dengan bertubi-tubi oleh parti lawan.
“Namun, Alhamdulillah, semangat dan daya juang saudara-saudara semua tidak pernah luntur. Armada terus mara dengan berani sehingga musuh kita tewas dan tersungkur. Tahniah saya ucapkan kepada Armada!,” katanya.
Muhyiddin memberitahu masa depan Bersatu kini terletak di tangan Armada kerana bakal melahirkan pemimpin-pemimpin parti yang cekal dan hebat pada masa hadapan.
“Di sinilah medan latihan untuk saudara-saudara mengasah bakat kepimpinan sebagai persediaan untuk mengemudi parti suatu hari nanti.
“Justeru, perbanyakkan program-program kaderisasi untuk menarik minat anak-anak muda yang berbakat menyertai Bersatu.
“Sediakan program latihan kepimpinan yang mantap untuk mereka. Bukalah ruang yang seluas-luasnyakepada anak-anak muda di luar sana untuk menyertai Bersatu dan menyumbang kepada parti.
“Kita bersyukur kerana majoriti ahli Bersatu adalah anak-anak muda. Ini adalah satu petanda yang amat baik kepada masa depan parti kita.
Sebuah parti yang dianggotai oleh anak-anak muda adalah parti yang releven pada masa kini dan insya Allah akan kekal releven pada masa hadapan,” katanya.
Muhyiddin turut memberi jaminan pimpinan tertinggi Bersatu sentiasa terbuka untuk menerima pandangan daripada Armada dan Srikandi.
“Lebih-lebih lagi saudara dan saudari bakal menerajui parti dan insya Allah negara pada suatu hari nanti.
“Maka, sewajarnyalah saudara- saudari diberikan peluang untuk mengambil bahagian secara lebih bermakna dalam mencorakkan masa depan parti dan negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette