LZS akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

KUALA LUMPUR – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menafikan sebaran pekeliling yang mengatakan organisasi itu akan mengagihkan zakat kepada agama lain selain Islam.

Sumber LZS memberitahu, terdapat kesalahan tafsir berhubung surat pekeliling divisyen perkhidmatan korporat LZS Bil 4 Tahun 2018 itu.

Katanya, pekeliling itu mendakwa ada pemakluman berhubung penggunaan moto baharu LZS iaitu daripada ‘Menerajui Perubahan’ kepada ‘Manfaat Zakat Untuk Semua’.

Menerusi pekeliling yang khusus untuk peringkat dalaman itu, memaklumkan kepada warga kerja LZS berkenaan penggunaan moto baharu lembaga itu yang telah diluluskan pada Mesyuarat Pemegang Amanah berkenaan penetapan halatuju LZS bagi tahun 2019-2020 pada 4 Oktober lalu.

Pekeliling itu dengan jelas memberitahu, LZS akan menggunakan moto ‘Manfaat Zakat Untuk Semua’ bagi menggantikan moto ‘Menerajui Perubahan’.

Mengikut kandungan pada para kedua pekeliling itu menyatakan, ia membawa maksud agar LZS lebih dekat dengan masyarakat dan mengukuhkan manfaat zakat adalah untuk semua bukan hanya terhad kepada golongan mustahik sahaja.

“Malah kepada semua lapisan masyarakat tidak mengira usia, bangsa dan agama secara langsung dan tidak langsung,” menurut kandungan pekeliling bertajuk Pemakluman Penggunaan ‘motto’ Baharu Lembaga Zakat Selangor.

Pekeliling itu merupakan pemakluman kepada warga kerja LZS sahaja dan berkuatkuasa 1 Januari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, LZS akan memberikan kenyataan rasmi berkaitan perkara itu dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast