Perwakilan Wanita UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 29 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Parti-parti serpihan UMNO tidak pernah ‘hidup lama’ dan UMNO sebagai parti asal orang Melayu sukar untuk dimusnahkan.

Ini adalah hakikat yang perlu diterima berdasarkan sejarah lalu.

Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, sama ada UMNO, PAS, MCA, MIC dan DAP semuanya berpengalaman melahirkan parti serpihannya.

Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat itu berkata, parti serpihan UMNO yang benar benar mencabar parti itu ialah Semangat 46 (S46) kerana hampir separuh anggota Kabinet kerajaan menyertai Tengku Razaleigh Hamzah dan ketika itu UMNO diharamkan.

“Tetapi apakah UMNO terkubur? Nampaknya S46 yang terkubur,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Puad berkata, walaupun kali ini berbeza kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menumpaskan UMNO melalui Pilihan Raya Umum ke-14 hingga UMNO musnah tetapi kemenangan Bersatu bukan tulen.

Kemenangan itu adalah ihsan DAP dan Parti Keadilan Rakyat kerana Bersatu cuma menang 13 kerusi dan seperti analisis Invoke Rafizi, Pakatan Harapan cuma dapat sokongan 30 peratus orang Melayu.

Daripada 30 peratus itu, PKR dapat 31 peratus, PAN dapat 26 peratus dan PPBM cuma dapat 21 peratus.

Ternyata, sumbangan Bersatu kepada Pakatan Harapan ialah membantu 10 peratus sokongan orang Melayu daripada UMNO kepada pakatan itu.

Mohd Puad menambah, tindak tanduk Bersatu langsung tidak meyakinkan orang Melayu untuk menjadikan ia ‘rumah baharu’ untuk orang Melayu.

Apatah lagi, katanya, Bersatu dilihat lemah dan tunduk kepada DAP.

Hakikatnya, kata veteran UMNO itu, orang Melayu lebih takut dan terancam melihat Bersatu diperalatkan DAP.

Ini dibuktikan kehadiran luar biasa orang Melayu di perhimpunan bantah ICERD.

Kegagalan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengharamkan UMNO membuktikan UMNO tidak boleh diharamkan secara paksa atau ikut pintu belakang.

Lantaran itu, untuk mengatakan UMNO akan berkubur adalah mimpi di siang hari.

Mohd Puad juga membayangkan masa depan Bersatu sendiri tidak menentu kerana nasib parti tersebut ditentukan oleh DAP.

Lagi pun kelahiran PPBM bukan kerana perjuangan Melayu, Islam dan rakyat seperti kelahiran UMNO sebaliknya, kewujudkan Bersatu kerana Dr Mahathir mahu menyelamatkan politik anaknya, Datuk Seri Mukriz Mahathir.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) juga berkata, tindakan Datuk Seri Mustapa Mohamad, individu yang libat hebat meninggalkan UMNO juga tidak menjejaskan parti keramat Melayu itu.

“Sehebat mana tokoh yang keluar seperti Tok Pa tidak menyebabkan cawangan UMNO di tempat beliau terbubar. Sebab itu Tun M kena buktikan selepas lapan bulan berapa banyak cawangan UMNO yang terbubar?,” katanya yang menyifatkan Bersatu hanya sesuai sebagai “rumah baharu” kepada bekas Ahli-Ahli Parlimen dan wakil-wakil UMNO yang kini menjadi gelandangan.

Semalam, ketika menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Melayu sekarang sudah keliru setelah kehilangan pemimpin, kehilangan haluan.

Katanya, UMNO sudah tidak ada lagi dan siapa, parti yang mana yang boleh mereka bergantung jikalau tidak Bersatu. – MalaysiaGazette