Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR – Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah kini berdepan dengan saman sebanyak RM50 juta dari dua pemimpin DAP berikutan dakwaan berunsur fitnah oleh beliau.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong bertindak menyaman Azwanddin sebanyak RM20 juta kerana mendakwa telah difitnah dengan begitu teruk dan dalam keadaan memalukan.

Azwanddin dalam laman sosial Facebook beliau serta laman sesawang JMM sendiri telah memaparkan dua artikel menyebut Chin Tong berpakaian seragam komunis di hadapan anggota tentera Melayu dengan sengaja serta mempamerkan sikap kurang ajar.

Satu lagi artikel yang ditulis pada 19 November pula Azwanddin mendakwa Chin Tong berada dalam keadaan tertekan dan terancam.

Menurut peguam yang mewakili Chin Tong, Ram Karpal Singh, saman itu telah difailkan pada 27 Disember di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan 29 Januari depan ditetapkan untuk pengurusan kes berkenaan.

“Chin Tong antara lain telah menuntut kerosakan am dan kerosakan teladan melibatkan RM20 juta serta injunksi bagi menghalang Azwanddin daripada terus memaparkan artikel-artikel serupa di masa depan,” katanya.

Pada 26 Disember lepas, Menteri Industri Utama, Teresa Kok membayar ganti rugi RM30 juta berikutan kenyataan mengaitkan beliau dengan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya bulan lalu.

Teresa, yang mengemukakan surat tuntutan kepada Azwanddin dan JMM melalui firma guaman S N Nair & Partners turut menuntut kedua-dua pihak terbabit mengemukakan permohonan maaf dalam masa tujuh hari.

Azwanddin yang direman sejak Khamis lalu dibebaskan semalam dan polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette