Datuk Rosyam Nor
Datuk Rosyam Nor.

KUALA LUMPUR – Pelakon Rosyam Nor menegaskan tidak pernah memuat naik sebarang status di akaun Facebook yang menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) seperti mana tular baru-baru ini di laman sosial itu.

Rosyam mendakwa, nama dan gambarnya telah disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencipta akaun palsu Facebook sebelum memuat naik kenyataan itu seolah-olah dibuat oleh beliau.

“Selama ini saya tak pernah buat laporan polis, tak pernah buat sidang media kerana saya taklah terlalu ke arah media sosial dan sebelum ini pun saya dikatakan mencemuh Dr Mahathir Mohamad, padahal itu bukan tulisan saya.

“Saya tak tahu tangan ajaib mana yang meletakkan gambar saya dan menulis di bawah itu tapi saya langsung tidak ambil tindakan.

“Saya dicemuh oleh orang mengatakan saya menghina Perdana Menteri dan kepimpinan PH padahal itu bukan tulisan saya,” katanya pada sidang media di pejabat urusan ST Rosyam Mart, di Taman Setiawangsa, di sini, hari ini.

Datuk Rosyam Nor
Pelakon, Datuk Rosyam Nor bersama Pengerusi Sri Ternak, Ho Ah Chai (kiri) dan Pengarah ST Rosyam Mart, Datuk Raymond Ho (kanan) menunjukkan laporan polis semasa sidang media berkenaan Pasaraya ST Rosyam Mart Sdn. Bhd. di Pejabat ST Rosyam Mart, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 JANUARI 2019

Semalam, Rosyam yang juga penerbit dan Pengarah Urusan syarikat Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd, membuat laporan polis terhadap seorang netizen Facebook yang memfitnahnya tentang pemilikan ST Rosyam Mart.

Netizen terbabit menyifatkan Rosyam sebagai barua kepada seorang ahli perniagaan Cina yang menggunakan populariti namanya untuk menarik pelanggan Melayu ke pasaraya ST Rosyam Mart dengan menerima elaun bulanan.

Rosyam juga tidak menafikan cemuhan itu telah menyedihkan beliau dan keluargannya, malah menjatuhkan maruahnya sebagai selebriti di negara ini.

“Disebabkan viral itu, mereka telah menuduh saya menjadi barua kepada orang Cina tapi perkataan barua itu cukup menyedihkan saya.

“Ia menyedihkan keluarga saya, yang lain-lain itu saya boleh terima, bila cakap saya barua ini saya tak boleh terima, jadi saya mengambil tindakan untuk membuat laporan polis kerana ia telah merosakkan nama Rosyam,” katanya.

MGF05012019_PC ROSYAM NOR_01
Pelakon, Datuk Rosyam Nor bercakap pada sidang media berkenaan Pasaraya ST Rosyam Mart Sdn. Bhd. di Pejabat ST Rosyam Mart, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 JANUARI 2019

Beliau melahirkan rasa malu terhadap insiden tersebut yang turut terpalit kepada pemilik Syarikat Kumpulan Seri Ternak, Ho Ah Chai dan rakan kongsinya, Datuk Raymond Ho.

“Saya malu kerana seorang yang telah berjaya dan tak perlu Rosyam Nor pun untuk teruskan perniagaan mereka, setelah dua tahun saya memujuk mereka kerana niat saya adalah untuk membantu masyarakat Melayu khasnya untuk mendapatkan barang murah.

“Selepas mereka bersetuju dan akhirnya ST Rosyam Mart berjalan, Ho Ah Chai pula dituduh sebagai pengedar dadah.

“Perniagaan ayam itu betul, tapi yang edar dadah itu tak betul, saya memohon maaf kepada Wah Ah Chai dan Datuk Raymond kerana perkara ini berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette