Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media khas di Ruang Legar Bilik Gerakan, Kompleks E, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 09 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan mengubah pendirian berhubung pelaksanaan larangan merokok di premis-premis makanan meskipun mendapat bantahan daripada golongan perokok tegar.

Perkara itu ditegaskan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad apabila memberitahu, larangan tersebut akan dikuatkuasakan oleh kementerian dengan lebih baik lagi.

“Kita akan mendepani tentangan-tentangan ini dan kita pun tahu ada semakan kehakiman berhubung ini.

“Tetapi kita juga mendapat penglibatan dari pihak Peguam Negara dan pakar undang-undang untuk membantu kementerian dalam mempertahankan serta menjamin kita tidak berganjak daripada ini,” katanya sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut Dzulkifly berkata, pihaknya memperoleh sokongan sangat baik daripada semua pihak selepas lebih seminggu perlaksanaan larangan merokok itu dikuatkuasakan.

Katanya, kementerian yakin langkah tersebut akan membawa impak positif ke arah usaha menangani penularan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Dalam pada itu beliau berkata, sejak 1 Januari hingga semalam, sebanyak 30,548 premis telah dilawati pihak penguatkuasaan sementara jumlah amaran dikeluarkan adalah sebanyak 13,724.

“Bilangan risalah diedar pula adalah sebanyak 76,274 dan sebanyak 75,280 individu telah didekati dalam usaha memberikan pendidikan dalam soal rokok,” ujarnya.

Menjawab persoalan sama ada kementerian mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan merokok di premis makanan selepas pukul 10 malam, beliau berkata, cadangan itu tidak akan langsung pertimbangkan kerana ia akan dilihat sebagai satu tindakan ke belakang.

Ditanya tentang cadangan bagi pihak restoran untuk menyediakan tempat khas untuk perokok di premis-premis mereka, Dzulkefly berkata, ia bergantung kepada kreativiti masing-masing selagi tempat itu dibuat sejauh tiga meter dari premis.

Sementara mengulas mengenai cadangan mengurangkan kandungan nikotin rokok, Dzulkifly berkata, usaha untuk menangani ketagihan merokok adalah sesuatu yang baik tetapi kementerian masih belum mempunyai sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Dzulkifly turut memberitahu, Sabah bersedia untuk melaksanakan penguatkuasaan larangan merokok berkenaan.

“Sabah telah bersetuju dan pelaksanaan itu kita diserahkan kepada mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette