Seorang pengamal perubatan Islam disyaki mencabul seorang wanita yang sedang mendapatkan rawatan.
SHAH ALAM – Suspek utama kes seorang bekas calon Anggota Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Shah Alam yang maut ditetak di tingkat bawah Rumah Pangsa Nilam Sari di Seksyen 7 di sini pada Isnin, menyerah diri kepada polis semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, lelaki berkenaan tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, pada pukul 10.30 malam bersama peguamnya Gerard Lazarus.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan Mahkamah Majistret Shah Alam telah mengeluarkan perintah reman ke atasnya sehingga Selasa hadapan.

“Siasatan sedang giat dijalankan untuk mengesan suspek lain serta mengumpul bahan bukti. Polis meminta suspek lain supaya ikut menyerah diri bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Baharudin, setakat ini empat lelaki termasuk suspek utama serta seorang wanita ditahan untuk siasatan kes berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa, M. Thiyahu, yang dijalankan semalam mendapati punca kematiannya adalah akibat luka parah di bahagian kepala.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menyalurkan maklumat terus kepada pegawai penyiasat, ASP K. Vignesh Kumar di talian 012-8377756, IPD Shah Alam 03-55202222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Semalam, polis menyiarkan gambar suspek utama kes itu dikenali sebagai Ozziram M. Devan yang dikesan beralamat terakhir di Taman Karupiah, Padang Jawa, Klang, dekat sini bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.00 petang Isnin itu, Thiyahu, 30, diserang tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja bersenjatakan parang sebelum mangsa dibawa oleh orang ramai ke Hospital Shah Alam.

Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka, belakang kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki, dan meninggal dunia kira-kira 6.30 petang hari sama ketika menerima rawatan.

— BERNAMA