Datuk Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Centre for Independent Journalism (CIJ) menggesa kerajaan menghentikan siasatan di bawah Akta Hasutan terhadap Datuk Lokman Noor Adam dan beberapa yang lain.

Malah, CIJ juga mengulangi gesaannya untuk pemansuhan Akta Hasutan, mengembalikan semula moratorium akta tersebut dan pemansuhan Akta Pencetakan dan Penerbitan Percetakan pada sidang Parlimen yang akan datang.

Katanya, Kerajaan Pakatan Harapan telah berulang kali menyatakan tidak akan menggunakan akta itu bagi menangani perbezaan pandangan tetapi walaupun selepas moratorium itu ditarik balik, kerajaan berulang kali menggunakan akta tersebut.

Menurut CIJ, siasatan ke atas Lokman di bawah akta itu menunjukkan wujud keperluan untuk mendesak kerajaan membatalkannya bagi menghalang cawangan eksekutif negara daripada melakukan pelanggaran hak asasi manusia.

CIJ berkata, rentetan siasatan hasutan juga tiidak mencerminkan retorik Menteri-Menteri baharu.

“CIJ mengingatkan kerajaan bahawa mereka dipilih berdasarkan manifesto yang menjanjikan pemansuhan Akta Hasutan dan yang berjanji bahawa kerajaan akan berusaha menjadikan rekod hak asasi manusia Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa.

“Justeru Pakatan Harapan perlu teguh dengan komitmennya terhadap janji-janji pilihan raya jika ia serius dalam pilihan raya akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette