rabies Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Setakat ini tidak ada kes rabies dalam kalangan manusia dikesan di Taiping dan Bukit Gantang meskipun kedua-dua daerah itu diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies pada 14 Januari lalu.

Penwartaan itu susulan empat ekor anjing dari kawasan berkenaan disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI).

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat dua orang mangsa yang telah digigit oleh anjing peliharaan keluarga mereka pada 25 Disember lalu.

Mangsa pertama adalah seorang wanita berumur 50 tahun dan mangsa kedua adalah seorang lelaki berumur 25 tahun. Kedua-dua mangsa telah dimasukkan ke wad Hospital Taiping pada 25 Disember 2018 dan discaj pada keesokan harinya selepas menerima rawatan bagi kecederaan yang dialami.

Anjing yang menggigit mangsa telah dilupuskan oleh pemiliknya pada 3 Januari 2019 dan sampel daripada anjing berkenaan disahkan positif rabies pada 4 Januari 2019 VRI.

Berikutan itu, mangsa gigitan telah diberikan vaksin dan rabies immunoglobulin dan kedua-dua mangsa gigitan ini terus dipantau.

“Buat masa ini tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan rabies,” katanya di sini.

Susulan daripada itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia telah menjalankan pemantauan anjing liar di lokasi terbabit pada 11 Januari 2019 dan mendapati tiga daripada 30 sampel anjing adalah positif rabies.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan menasihati orang awam terutamanya di daerah Larut Matang dan Selama agar mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada penyakit rabies. – MalaysiaGazette