Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) akan memberi keutamaan menyiapkan kertas putih mengenai pelan pemulihan Felda pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kementeriannya  telah memastikan komitmen kerajaan terhadap peneroka Felda dipenuhi dengan meneruskan pemberian Bantuan Sara Hidup kepada mereka.

“Bersama Kementerian Kewangan pula, MEA turut terlibat dalam pelan pemulihan Lembaga Tabung Haji bagi memperkukuhkan kembali institusi ikonik negara berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, usaha juga telah dimulakan untuk meneliti kedudukan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan menangani cabaran di institusi berkenaan.

Sementara itu, Mohamed Azmin memberitahu, kementeriannya telah memulakan proses penyediaan rangka pembangunan pasca-2020 dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara bagi jangka masa yang lebih panjang.

“Dalam hubungan ini, MEA akan menerajui beberapa kajian sosioekonomi mengenai cabaran-cabaran masa hadapan, termasuklah antara lain kajian mengenai Fourth Industrial Revolution bagi memastikan negara bersedia untuk menghadapi impak dari ledakan teknologi yang akan menukar gaya
hidup masyarakat,” jelasnya.

Katanya, MEA juga sedang turut menyemak semula proses dan mekanisme perancangan sedia ada bagi menambah baik perancangan pembangunan negara.

Tambah Mohamed Azmin, penglibatan pelbagai pihak dan aspirasi rakyat akan diambil kira dalam merangka pembangunan negara agar pertumbuhan ekonomi terus bermakna, bersifat inklusif
dan holistik serta mampu membawa Malaysia menjadi semula sebuah negara yang dikagumi di mata dunia. – MalaysiaGazette