KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak mengeluarkan arahan larangan terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun berada di luar rumah pada waktu malam.

Kementerian itu berkata, maklumat yang tersebar menerusi Wahtsapp yang didakwa dikeluarkan kementerian itu sebelum ini adalah palsu.

“KPWKM tidak mengeluarkan apa-apa arahan berhubung perkara itu. Pihak kementerian memohon semua pihak tidak menyebarkan maklumat palsu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini satu mesej tular di aplikasi WhatsApp berhubung larangan terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun berada di luar rumah pada waktu malam berkuat kuasa serta merta kononnya dikeluarkan oleh KPWKM.

Berdasarkan mesej itu, kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun (13 hingga 16 tahun) tidak dibenarkan berada di luar kawasan rumah melebihi jam 10 malam, manakala bagi yang berusia 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan berada di luar kawasan rumah melebihi jam 8 malam kecuali hal yang tidak dapat dielakkan.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan kerajaan berminat untuk memperkenal perintah berkurung kepada remaja berusia bawah 18 tahun di negara ini.

Ia termasuklah kebenaran keluar dari rumah masing-masing mengikut tempoh had masa ditetapkan, selain pihak berkuasa mengenal pasti ia adalah antara penyelesaian bagi membanteras pembabitan mereka dalam gejala hidu gam.- MalaysiaGazette