Usaha mengangkat keluar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke laut Ahad lepas berjaya, apabila sebahagian daripada badannya mulai timbul di permukaan laut kira-kira pukul 5.45 petang.

GEORGE TOWN – Usaha mengangkat keluar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke laut Ahad lepas berjaya, apabila sebahagian daripada badannya mulai timbul di permukaan laut kira-kira pukul 5.45 petang.

Pasukan operasi yang terdiri dari 40 orang penyelam dari pelbagai agensi itu berjaya mengikat SUV jenis Mazda CX-5 itu sebelum ditarik ke atas jalan di Jambatan Pulau Pinang kira-kira pukul 6.07 petang, selepas bertungkus lumus menjalankan operasi itu sejak semalam.

Bernama difahamkan satu mayat, dipercayai Moey Yun Peng, 20, seorang pelajar kolej swasta di sini, ditemukan berada di tempat pemandu kenderaan tersebut sejurus pemeriksaan dilakukan pihak polis.

mangsa
Mayat mangsa dikeluarkan dari kenderaan SUV yang terhumban yang ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan.

Anggota pasukan operasi itu turut kelihatan memotong sebahagian kenderaan itu menggunakan peralatan memotong besi dalam usaha mereka mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Sumber awal mengatakan mayat itu akan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk proses pengecaman dan bedah siasat.

SUV itu terhumban ke dalam laut selepas  terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta pada jam 2.54 pagi, Ahad lepas.

Kenderaan itu berjaya ditemukan pada pukul 4 petang semalam di Tiang 34 Jambatan Pulau Pinang sebelum sebuah kren berkapasiti tinggi tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 5.45 petang untuk memulakan usaha membawa keluar kenderaan itu dari dasar laut.

— BERNAMA