Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

LIPIS – Penyokong dan anggota Pas dinasihat lupakan persengketaan Pas dan UMNO dan menggunakan pertimbangan rasional dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, hujung minggu ini, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Nik Mohamad Abduh yang juga Anggota Parlimen Bachok berkata, perkara itu sudah diperjelaskan memandangkan lawan BN dalam PRK berkenaan ialah calon daripada Pakatan Harapan (PH) adalah juga musuh utama PAS ketika ini.

“Dulu, memanglah BN dan UMNO musuh kita…tapi selepas apa yang berlaku pada Mei lalu, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kami sudah nampak siapa musuh dan siapa yang boleh dijadikan kawan dalam memperjuangkan agama Islam.

“Kami (PAS) yakin dengan kebijaksanaan ahli dan penyokong dalam membuat pilihan dan mengundi (calon) yang terbaik…anggota PAS tahu dengan kewajipan mengundi untuk memilih pemimpin yang baik menerajui negara…mereka (PH) masih gagal menunaikan janji (manifesto),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah bersama PAS dan BN di Dataran Sungai Koyan, di sini, malam tadi yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta 500 anggota dan penyokong PAS serta BN hadir pada program berkenaan. – Bernama