Jais Abdul Karim SPRM kad pengenalan MCW peguam negara kebocoran data peribadi
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa agar pemantauan dan pendidikan berterusan dilakukan bagi membenteras pencabulan integriti termasuk rasuah dalam pilihan raya.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, isu berkaitan rasuah dan integriti melibatkan ahli politik masih gagal dibenteras sepenuhnya.

“Sebagai salah satu badan yang dilantik sebagai pemerhati pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang berakhir semalam, MCW berpandangan sudah tiba masanya untuk kerajaan memikirkan langkah-langkah tambahan dan inovatif sejajar perkembangan semasa demi membenteras gejala tidak sihat itu,” katanya dalam kenyataan.

Seramai 10 anggota MCW terlibat sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Menurut anggota pemerhati Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) itu, rakyat sedang memerhati secara dekat segala tingkah laku dan perubahan yang cuba dibawa oleh kerajaan baharu.

Katanya, ini seharusnya menjadi pendorong kepada kerajaan untuk membuktikan komitmennya dalam memastikan langkah-langkah pemurnian amalan pilihan raya itu mencapai matlamat.

“MCW akan sentiasa menjadi mata dan telinga serta bersama-sama dengan kerajaan dalam usaha tersebut.

“Sekalipun berpuas hati dengan kelancaran perjalanan PRK Cameron Highlands, MCW berpendapat masih terdapat ruang untuk penambahbaikan,” tambahnya.

Jais berkata, ini termasuk memastikan setiap calon, parti dan pihak-pihak yang terlibat memahami serta mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Menurutnya, kefahaman serta pematuhan itu dapat menzahirkan budaya politik yang lebih matang serta membolehkan penganjuran pilihan raya yang lebih baik lagi. – MalaysiaGazetta