Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Satu kawasan khas yang akan menempatkan semua jenis perusahaan dan industeri kitar semula akan diwujudkan di kawasan-kawasan tertentu di seluruh negara, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, polisi pemusatan kawasan industri kitar semula ini akan dikuatkuasakan dalam masa dua tahun lagi.

“Menerusi langkah ini, yang mana akan memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan kerajaan terhadap industri kitar semula ini,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Kenyataan Ahli Parlimen Ampang itu menyusul selepas menerima maklumbalas sesetengah pihak bahawa pihak kementerian tidak mengambil serius dalam usaha untuk menguatkuasa dan mentadbir pengurusan sisa terbuang yang boleh dikitar semula dengan baik.

Menurut beliau, hal berkenaan juga diburukkan lagi dengan terdapatnya portal-portal berita yang menggunakan gambar-gambar lama lambakan sampah di kilang-kilang pemprosesan haram yang kini telahpun ditutup.

Terkini, KPKT telah melaksanakan pelbagai tindakan proaktif seperti memperketatkan syarat kemasukan bahan kitar semula untuk di proses di negara ini.

“Kementerian turut akan bekerjasama dengan industri kitar semula, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi mendapat pengkalan data yang lebih komprehensif.

“Langkah drastik itu diambil dalam memastikan industri ini tidak memberikan kesan buruk kepada alam sekitar dan kelestarian hidup rakyat Malaysia.

“Segala langkah berkenaan adalah cara terbaik untuk memastikan tiada lagi pengoperasian haram dan mengelakkan kemasukkan bahan sisa buangan yang tidak mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh KPKT,” tegas beliau. – MalaysiaGazette