Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd Raja Azmi Raja Nazuddin.

KUALA LUMPUR – Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) di lapangan terbang di Malaysia meningkat kepada 4.7 daripada 5 tahun lepas berbanding 4.5 pada 2017 berdasarkan keputusan awal pelaksanaan Lean Six Sigma (Lean).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd Raja Azmi Raja Nazuddin berkata sejak perkaedahan Lean diguna pakai dalam pelbagai bidang iaitu operasi terminal, pengurusan darat dan udara, pengurusan pengalaman pelanggan dan tapisan keselamatan, ia meningkatkan aliran penumpang di lapangan terbang itu.

“Sehingga kini, 139 inisiatif Lean telah dikenal pasti dengan 90 peratus daripadanya telah dilaksanakan.

“Inisiatif itu termasuk menambah baik pencarian arah, mengurangkan masa berbaris, mengurangkan kesesakan, menyediakan maklumat yang membantu penumpang di titik sentuhan kritikal dan membaiki penyenggaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raja Azmi berkata lapangan terbang juga berjaya mengurangkan kebimbangan penumpang semasa beratur di imigresen dengan memperkenalkan penunjuk masa berbaris supaya mereka dapat merancang masa untuk menyelesaikan proses imigresen.

“Data menunjukkan amalan perkaedahan Lean berjaya mencapai hampir 90 peratus sasaran masa kami dengan purata masa menunggu di imigresen selama 10 minit untuk pelepasan dan 15 minit untuk ketibaan,” katanya.

Beliau menyuarakan keyakinan bahawa markah rasmi yang akan diumumkan Februari ini akan selari dengan gambaran keputusan awal.

“Malaysia Airports akan meneruskan inisiatif Lean ini untuk memanfaatkan pelanggan lapangan terbang kami,” kata Raja Azmi

— BERNAMA