Onn Hafiz (tengah) mewakili kerajaan Johor mengadakan pertemuan dengan delegasi dari Singapura dalam perbincangan meja bulat di Johor Bahru semalam,

JOHOR BAHRU – Singapura membangkitkan isu tenaga kerja mahir, kesediaan utiliti dan infrastruktur serta jaringan pengangkutan awam di Johor.

Ia termasuk kemudahan semasa keluar masuk di pintu sempadan antara Malaysia-Singapura.

Isu tersebut disentuh semasa perbincangan meja bulat antara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, wakil-wakil kerajaan negeri dan United Overseas Bank (UOB) dengan para pemimpin industri dan agensi dari Singapura di sini semalam.

“Diskusi menfokuskan tentang visi, komitmen dan penglibatan kerajaan negeri bagi menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Saya suarakan keyakinan JS-SEZ ini pasti membawa satu dimensi ekonomi yang baharu buat rantau ini, seperti kisah kejayaan bandar metropolis Shenzhen,” katanya dalam hantaran terbaharu dalam Facebook.

Onn Hafiz berkata, menerusi perbincangan tersebut, pihaknya turut berkongsi apa yang Johor perlukan serta ruang kerjasama yang boleh dijalin untuk mewujudkan situasi menang-menang.

Sebagai contoh, ujarnya, gaji yang kompetitif, latihan pekerjaan yang kondusif serta peluang pekerjaan kepada warga negara Malaysia terutamanya dari Johor.

Katanya, kerajaan negeri juga mendengar pandangan daripada delegasi Singapura melibatkan semua isu yang dibangkitkan itu.

“Insya-Allah, kerajaan negeri yakin dengan kerjasama dan sokongan kerajaan Persekutuan, semua ini mampu disediakan dengan tersusun,” katanya.

Pihaknya gembira dengan hasil perbincangan itu yang disifatkan amat positif dan semakin ramai menyuarakan komitmen mahu melabur di Johor.

“Kerajaan negeri juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan serta kerajaan Singapura yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan agenda ini,” katanya.

Beliau percaya JS-SEZ mampu dijayakan sekaligus mengangkat nama Johor dan Singapura sebagai kuasa ekonomi baharu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast