Ketua Pembangkang Venezuela mengakui mengadakan pertemuan rahsia dengan tentera untuk meraih sokongan menolak Maduro

VENEZUELA – Ketua Pembangkang Venezuela, Juan Guaido telah mengadakan pertemuan rahsia dengan tentera sebagai usaha meraih sokongan mereka untuk menolak pentadbiran presiden negara itu, Nicolas Maduro.

Justeru, Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara di negara yang bergolak sejak awal Januari lalu.

Beliau dengan segera menyatakan Venezuela mengiktiraf Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Amerika Latin.

Kuasa besar Rusia dan China menyokong Maduro dan sokongan tentera dilihat sebagai elemen penting kepadanya untuk terus mengukuhkan kuasa.

Krisis tercetus apabila Maduro memulakan pentadbirannya untuk penggal kedua selepas pilihan raya yang penuh dengan kontroversi.

Ramai calon pembangkang disekat daripada bertanding atau dipenjarakan.

Kira-kira tiga juta orang rakyat telah lari meninggalkan Venezuela berikutan krisis ekonomi yang teruk selain peningkatan kekerasan dan jenayah dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Presiden AS, Donald Trump dalam twitternya pada Rabu lalu mendedahkan, beliau telah mengadakan perbincangan bersama Guaido dan menyokong tindakan bersejarah presiden sambil menulis di twitter keduanya ‘perjuangan ke arah kebebasan sudah bermula.’

Sementara itu, Setiausaha Luar United Kingdom, Jeremy Hunt dijangka menggesa negara-negara Kesatuan Eropah (EU) untuk mengenakan sekatan ke atas tokoh utama kerajaan Maduro pada Khamis selepas bercakap dengan Guaido.

EU juga mendesak kerajaan Maduro untuk mengadakan pilihan raya baharu.

Manakala Guaido pula berkata, pihaknya telah bertemu pasukan tentera dan anggota keselamatan negara itu.

“Penarikan sokongan tentera dari Maduro sangat penting untuk membolehkan perubahan berlaku dalam kerajaan.

“Majoriti orang yang berkhidmat dalam kerajaan bersetuju bahawa pentadbiran baharu negara tidak dapat menangani krisis yang sedang menghantui rakyat,” katanya.

Aset Guaido dibekukan Mahkamah Agung Venezuela dibawah tekanan Maduro dan disekat daripada meninggalkan negara. – MalaysiaGazette