Mohamad Ezam Mohd Nor
Mohamad Ezam Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) adalah badan agama dan ia tidak perlu sentuhan ahli-ahli politik yang dikuasai oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Kehadiran 1 dan 2 org politik perlu utk input dan tindakan dr sudut politik. Bukan hampir semua ahlinya terdiri orang politik.Tidak wajar dan perlu koreksi segera,” menurut Pengerusi Hisbah Malaysia, Datuk Mohamed Ezam Mohd. Nor.

MalaysiaGazette dalam laporannya semalam mendapati hampir semua lantikan Yadim dikuasai politik dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Menerusi barisan Lembaga Pengarah bawah kerajaan PH, Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz daripada Amanah dan Timbalan Yang Dipertua, Zolkarnain Abidin juga dari parti sama.

Ahli Lembaga Pengarah Yadim pula terdiri daripada Muhamad Razak Idris yang memegang jawatan sebagai Sekretariat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim (Presiden ABIM), Syed Ibrahim Syed Noh (Ahli Parlimen Ledang-PKR), Abdul Ghani Shamsudin (Timbalan Penasihat Umum Amanah), Ahmad Sayuti Bashiron (ahli Amanah).

Datuk Dr Samsu Adabi Mamat (Ketua Bahagian PPBM Cheras), Shamsul Ma’arif Ismail (Naib Pengerusi 2 Amanah), Maznah Daud (Wanita Amanah), Nor Azrina Surip (Ahli Parlimen Mantek – PKR), dan lantikan terbaharu, Sheikh Omar Ali (ADUN Paloh – DAP).

Dalam pada itu, media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengesahkan pelantikan Sheikh Omar sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yadim dan pelantikan itu tidak sepatutnya mencetuskan kontroversi kerana pemilihannya dibuat berdasarkan kelayakan dimilikinya. – MalaysiaGazette