, Dr. Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad berkata Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi yang bertugas seperti biasa di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, ada menyatakan bahawa kenyataannya berkaitan LGBT adalah pandangan peribadinya.

KUALA LUMPUR – Bagi fasa projek perintis Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) pemegang taruh yang terlibat adalah pemilik klinik perubatan dan syarikat makmal perubatan swasta.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefley Ahmad berkata, ia selari dengan matlamatnya untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan primer dengan mempertingkatkan kerjasama antara pengamal perubatan di klinik-klinik perubatan am swasta dengan
pengamal perubatan kerajaan.

“Pengamal perubatan am swasta memainkan peranan yang amat penting dalam usaha kerajaan memerangi penyakit tidak berjangkit dalam kalangan penduduk di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, kata Dzulkefley, pemilik klinik perubatan am swasta yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta memenuhi kriteria pemilihan yang telah ditetapkan dipelawa untuk menyertai skim berkenaan.

Menurutnya, bagi klinik perubatan am swasta, fi perubatan untuk perkhidmatan perundingan dan pemeriksaan kesihatan telah ditetapkan di bawah Jadual Ketujuh, Peraturan-Peraturan Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Klinik Perubatan Swasta Atau Klinik Pergigian Swasta) 2006, Akta 586.

Kadar bayaran yang akan ditawarkan kepada pengamal perubatan am swasta yang memberikan perkhidmatan kepada pesakit skim Peka B40 akan berlandaskan ketetapan jadual fi tersebut.

Bagi makmal perubatan swasta pula, penyertaan dalam skim itu adalah terbuka kepada semua syarikat makmal perubatan swasta yang berminat tertakluk kepada syarat bahawa makmal-makmal tersebut menepati kriteria kualiti yang ditetapkan dan bersetuju menerima harga yang ditawarkan oleh KKM melalui PHCorp.

“Setakat ini, enam syarikat makmal perubatan swasta telah lulus proses pemilihan dan sudah berdaftar dengan PHCorp (ProtectHealth Corporation Sdn Bhd).

“Pegawai perubatan di klinik-klinik perubatan am swasta yang terlibat dalam skim PeKa B40 bebas untuk memilih antara mana-mana syarikat makmal perubatan swasta yang telah berdaftar dengan PHCorp untuk menghantar sampel ujian makmal pesakit mereka.

“Tiada sebarang transaksi bayaran akan berlaku antara kedua-dua pihak ini. Semua urusan bayaran akan dilakukan terus oleh PHCorp,” katanya lagi.

KKM sentiasa menyanjungi pandangan serta cadangan semua pihak yang akan terlibat dalam menjayakan skim PeKa B40.

Oleh yang demikian, mulai bulan Februari ini, KKM akan mengadakan beberapa siri pertemuan bersama pihak pemegang taruh yang berkenaan untuk membincangkan penglibatan mereka dalam skim itu.

KKM juga ambil maklum tentang cadangan beberapa pihak agar farmasi swasta dan hospital universiti turut dilibatkan dalam skim PeKa B40 dan akan mengkaji cadangan tersebut bersama semua cadangan lain dan akan mempertimbangkan pelaksanaannya dalam fasa-fasa skim PeKa B40 yang akan datang.

“Namun begitu, saya berharap rakyat akan faham bahawa KKM tidak mahu terburu-buru mengambil keputusan dan ingin menjalankan skim PeKa B40 ini secara berperingkat dan berhemah bagi memastikan kejayaan setiap fasa pelaksanaan serta membina asas skim PeKa B40 yang kukuh sebelum ia diperkembangkan kelak,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/01/kkm-digesa-perjelas-skim-peka-b40-mysalam/