Perodua Aruz

KUALA LUMPUR – Perodua telah menjual lebih 20,100 kenderaan pada bulan pertama tahun ini termasuk 1,025 buah Aruz telah didaftarkan pada akhir Januari lalu.

Walaupun masih menunggu angka rasmi daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Perodua menganggarkan penguasaan pasaran jenama itu meningkat kepada 41.7 peratus atau kenaikan 9.2 peratus daripada 18,400 buah kenderaan yang dijual pada Disember 2018.

Berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas, Perodua telah menjual 20,100 unit atau 13.6 peratus lebih pada Januari tahun ini berbanding 17,700 unit pada Januari 2018.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr. Zahari Husin berkata, Aruz mendapat respons yang baik dengan tempahan sebanyak 8,000 buah setakat ini, begitu juga dengan model-model lain dengan lebih 19,000 buah telah didaftarkan pada bulan lalu.

“Permintaan yang tinggi untuk Aruz telah meningkatkan tempoh menunggu terutamanya bagi varian AV. Kami akan berusaha melakukan yang terbaik untuk mengurangkan tempoh menunggu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pada masa ini, komposisi pesanan bagi Aruz adalah 85 peratus untuk varian Advance (harga pada RM77,900 tanpa insurans) dan baki 15 peratus adalah untuk varian X (harga pada RM72,900 tanpa insurans).

Mengulas mengenai spekulasi peningkatan harga bagi Perodua Aruz, Zahari menjelaskan, harga model Perodua itu masih sama.

Beliau berkata, Myvi terus mengungguli jualan dengan lebih 8,400 unit dijual pada bulan Januari, selain Axia,
Bezza dan Alza yang masing-masing dijual lebih 5,500 buah, 3,400 dan 1,600 pada bulan lalu. – MalaysiaGazette