KUALA LUMPUR – Keputusan untuk mengekalkan calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sudah tentu menimbulkan sedikit mengecewakan akar umbi PKR.
Namun keputusan yang telah ditetapkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan itu, kata Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, Amirudin Shari tidak akan mematahkan semangat muafakat gabungan itu untuk saling bekerjasama semasa berkempen nanti.
“Secara asasnya kita harus memegang prinsip muafakat di dalam PH. Dan itu yang saya sampaikan daripada awal walaupun ada permintaan dan sebagainya apa pun kita kena kembalikan kepada Majlis Presiden PH bila mereka telah membuat keputusan untuk menyerahkan meneruskan legasi Semenyih kepada Bersatu, kita akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan.
“Dalam pilihan raya lepas pun ia di bawah Bersatu, saya rasa bukanlah kecewa sangat mungkin mereka menyampaikan pandangan mereka dan pandangan itu dinilai dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Democracy Fest di The Square Publika di sini.
Beliau mengulas mengenai keputusan terkini untuk meletakkan calon Bersatu sebagaimana dipersetuju sejak pilihan raya umum yang lalu di kerusi DUN Semenyih.
Amirudin sebelum ini sendiri mendedahkan bahawa terdapat desakan daripada akar umbi PKR yang mahu calon parti itu dipertandingkan Mac depan. -MalaysiaGazette