KUALA LUMPUR – Cari persekitaran dan kawan yang baik untuk berubah menjadi lebih baik.
Demikian kata pelakon wanita Nonnys Nadirah berhubung isu segelintir selebriti yang membuka tudung.
Nonny turut menyifatkannya sebahagian daripada ujian Allah.
Pelakon berusia 29 tahun itu walaubagaimanapun menambah sesiapapun perlulah bersangka baik tidak sentiasa mencari salah orang lain.
“Cari persekitaran yang baik, insya-Allah kita juga akan menjadi orang yang lebih baik.
“Pada saya, ujian dan dugaan yang Allah berikan kepada kita adalah berbeza. Allah pula menghadirkan ujian kerana Dia menyayangi hamba-Nya. Tuhan juga takkan menduga seseorang manusia dengan ujian di luar kemampuannya. Jika boleh dihadapi ujian itu, insya-Allah perkara lebih besar dan baik akan diberikan kepada kita.
“Kita juga perlu sentiasa bersangka baik dengan orang lain. Saya, umpamanya, mengajar diri untuk terlebih dahulu mencari salah sendiri daripada sibuk memperkatakan kesilapan orang lain,” katanya yang kini sering dilihat memakai tudung selepas pulang mengerjakan umrah 27 Januari lalu.
Artis kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim kelima itu mengakui kini dalam fasa cuba membiasakan diri bertudung.
“Saya cuba membiasakan diri dengan mengenakan selendang terlebih dahulu untuk ke tempat kerja atau apabila keluar berjalan jalan.
“Harapan saya, diri ini boleh beristiqamah dalam mengenakan tutup kepala,” katanya lagi. -MalaysiaGazette