Walaupun ditohmah, dituduh dengan pelbagai pertuduhan, Najib tetap mendapat perhatian masyarakat.
Walaupun ditohmah, dituduh dengan pelbagai pertuduhan, Najib tetap mendapat perhatian masyarakat. - Foto dmuatnaik oleh Nooryana di laman Instagramnya berserta luahan hatinya.

KUALA LUMPUR – Selepas sembilan bulan, anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkongsi cerita mengenai kehidupan ayah dan keluarganya selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Nooryana Najwa, menerusi hantaran terbaharu di Instagram hari ini menyatakan bagaimana kuat dan tabahnya Najib berdepan dendam kesumat kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengheretnya ke mahkamah dengan 42 pertuduhan.

Nooryana Najwa
Nooryana Najwa

Keadaan itu membuatkan beliau dan seluruh ahli keluarga berasa sedih dan risau sekiranya ayahnya tidak kuat menghadapinya.

Dalam coretan itu, Nooryana menceritakan bagaimana dia pernah bertanyakan kepada ayahnya, adakah dia masih mahu berjuang?

“Adakah ayah masih mahu berjuang? Fikirkan apa yang mereka akan buat kepada ayah, kepada keluarga dan kepada penyokong-penyokong ayah?

“Ayah jawab, ingat Rasulullah SAW dahulu semasa Baginda dikecam dan diduga Baginda terus berjuang tanpa mengalah walau dengan hanya beberapa pengikut setia sahaja.

“Ayah tahu ianya sukar. Namun ayah mahu bersama-sama rakyat di kala mereka juga diduga dengan realiti Malaysia Baharu hari ini yang tidak seperti disangka,” tulisnya.

Namun, menurut Nooryana, dia dan keluarga bangga dengan sikap sabar dan tabah ayahnya, walaupun berdepan pelbagai tohmahan dari musuh politik, beliau tetap kuat dan meneruskan aktivitinya mendengar denyutan nadi rakyat.

Katanya, ayahnya tidak lagi dapat membantu dalam kapasiti besar, sebaliknya tetap menghulurkan khidmatnya walau dalam kadar yang kecil, demi memastikan bebanan rakyat dapat diselesaikan.

“Ayah kata, dia tetap turun padang kerana rakyat memerlukan seseorang sepertinya untuk mendengar dan membawa permasalahan dihadapi mereka kepada kerajaan baharu.

Mengenai 42 tuduhan yang dikenakan kepada Najib, Nooryana berkata, kerajaan PH akan melakukan apa sahaja untuk memastikan ayahnya bersalah.

Katanya, bila tiba hari perbicaraan nanti, ayahnya akan menghabiskan masa di kandang tertuduh dengan fikirannya tidak lain, memikirkan hal keluarga, kawan, penyokong dan mereka yang mengambil berat tentangnya.

Justeru, beliau meminta rakyat Malaysia menitipkan doa agar ayahnya dapat menghadapi kesemua pertuduhan itu dengan tenang dan Allah melepaskan dia daripada ujian paling besar itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ada kah beban Rakyat ketika ini kerana PH atau kerana keruncingan Kewangan Negara yg di perlakukan oleh Najib sebagai PM & Menteri Kewangan sebelum PH ambil alih?

Comments are closed.