Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz

SHAH ALAM – Integriti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa tidak berfungsi mengikut Perlembagaan sejak enam ahlinya meletakkan jawatan awal Januari lalu dipersoalkan pelbagai pihak.

Hari ini, seorang pengundi berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff memfailkan injuksi terhadap SPR di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sabariah memberitahu, tindakan itu bukan semata-mata mahu menghalang Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih tetapi juga atas kesedaran  untuk memastikan proses demokrasi di negara ini dijalankan oleh badan yang benar-benar sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan.

“Melihat perkembangan politik hari ini, saya merasakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai pengundi di kawasan DUN Semenyih dan sebagai warganegara Malaysia untuk melakukan sesuatu.

“Saya tidak mewakil mana-mana fahaman atau parti politik. Saya tiada apa-apa kepentingan politik dengan apa jua keputusan undian yang bakal dibuat oleh majoriti pengundi di DUN Semenyih nanti.

“Saya hanya mahu pastikan proses demokrasi di negara kita ini dijalankan oleh pihak yang sah di sisi undang-undang untuk mengendalikannya dan mengikut Perlembagaan serta mematuhi prinsip Rule of Law.

“Kita sama-sama serahkan kepada Yang Arif Hakim mahkamah ini untuk membuat apa jua keputusan,” katanya ketika ditemui di lobi Mahkamah Shah Alam hari ini.

Terdahulu Sabariah melalui peguamnya, Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co memfailkan permohonan saman pemula kepada pihak SPR, Pengerusi SPR Azhar Azizan Haruan dan Peguam Negara melalui secara dalam talian, hari ini.

Injuksi itu bagi membolehkan ketiga-ketiga defendan dibicarakan berhubung keabsahan SPR yang berfungsi tanpa keanggotaan mencukupi iaitu seramai tujuh ahli yang terkandung dalam Fasal 114(1) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Sabariah, salah satu cara untuk menentukan SPR berfungsi dan mengendalikan mana-mana pilihan raya secara sah adalah menerusi institusi kehakiman.

“Apabila timbul isu di media sosial berkaitan SPR sama ada ianya satu entiti yang sah atau tidak di sisi Perlembagaan mula dipersoalkan oleh netizen.

“Saya mengambil inisiatif sendiri, melantik peguam dan percaya bahawa hanya mahkamah yang mulia ini sahaja merupakan satu-satunya medan yang layak membuat keputusan sama ada SPR ini sah atau tidak mengikut Perlembagaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast