Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman menunjukkan ikan Arowana milik arwah Adib di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya hari ini.

SUBANG JAYA – Ikan peliharaan milik Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim akan terus dibela dengan baik oleh rakan-rakannya di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.

Bagi mereka, ikan eksotik jenis kelisa atau arowana kesayangan allahyarham yang dibela dalam akuarium itu menjadi memori kepada mereka terhadap rakan mereka yang terkorban dalam rusuhan kuil di Seafield baru-baru ini.

Bagaimana Allahyarham Muhammad Adib menjaganya bak ‘menatang minyak yang penuh’ – begitulah rakan-rakannya menjaga ikan tersebut.

Arowana Adib

Menurut rakan-rakannya, ikan itu dibeli oleh Muhammad Adib dengan harga antara RM250 hingga RM300 ketika ia masih kecil dan diletakkan di rumah sewanya di Subang Jaya.

Namun selepas peristiwa tragis menimpanya, ikan berkenaan dibawa ke balai bomba selepas mendapat kebenaran keluarga Muhammad Adib dan mereka beramai-ramai menjaganya.

Rata-rata anggota bomba seangkatan serta rakan sedia maklum dengan minat Muhammad Adib yang begitu meminat ikan serta seringkali menggunakan semua masa luang untuk memancing.

Menyingkap insiden itu, Timbalan Penguasa Bomba Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor merangkap Ketua Balai Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, pihaknya mahu kenangan Adib itu sentiasa dengan jabatannya.

Syed Shahril Syed Sulaiman
Syed Shahril Syed Sulaiman.

Kata beliau ketika ditemui media hari ini,  pihaknya mengambil inisiatif itu kerana mahu terus memelihara ‘kenangan’ yang masih hidup milik Muhammad Adib itu.

Tambahan pula, ramai rakan-rakannya berkongsi minat membela ikan seperti allahyarham.

“Arwah Muhammad Adib telah pelihara ikan arowana ini sejak dua tiga tahun lepas, ketika membelinya ikan ini hanya sekecil telapak tangan sahaja, anda tengok sendiri besar mana ikan arowana ini sekarang.

“Memang dia sangat memancing dan membela ikan. Bukan dia sahaja sebaliknya ramai pegawai, anggota khasnya di sini sangat berminat dan banyak meluangkan masa memancing bersama-sama sebagai aktiviti sambilan.

“Apabila arwah meninggal, kita minta keizinan daripada ayah Muhammad Adib supaya boleh membela dan menjaga arowana kesayangan dia, biarlah kita bela sebagai simbol kenangan serta kesinambungan ‘dia’ dengan kami.

“Kami juga mahu ambil tanggungjawab menjaga ikan ini kerana selepas ketiadaan Adib, tidak ada yang menjaga spesis ini. Kita ambil ikan ini dengan akuariumnya sekali pada hari ketiga selepas kematian arwah.

“Setiap kali melihat ikan ini, sejuk hati kami. Kenangan bersama Muhammad Adib akan sentiasa dekat dengan kami,” katanya.

Allahyarham bukan sahaja memiliki perwatakan lembut dan bersopan santun malah Muhammad Adib juga sebenarnya mempunyai jiwa penyayang bukan sahaja manusia tetapi kepada haiwan terutama ikan.

Al-Fatihah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Muhammad Adib.
Allahyarham Muhammad Adib.

Mengimbas kembali kenangan bersama Muhammad Adib, Syed Shahril mengakui beliau dan rakan sepasukan lain benar-benar terasa kehilangannya.

“Kami juga manusia biasa, Muhammad Adib sebenarnya seorang anggota yang sangat dekat di hati kami.

“Dia telah menambat hati semua orang dalam masa yang sekejap sahaja, sudah tentu kehilangan itu sesuatu yang amat dirasai sebenarnya sehingga kini, kita masih bercakap tentang dia dan kenangan. Kami kini dalam keadaan membiasakan diri.

“Tetapi pada masa yang sama, kami ada tugasan berat dalam terus menjaga keselamatan masyarakat sekeliling daripada di ancam bahaya. Kerana itu, saya selalu memberi nasihat, dorongan serta semangat kepada semua anggota supaya dapat bangkit kembali.

“Kehidupan perlu diteruskan apatah lagi kami yang sudah mempunyai kerjaya penting tapi tipu kalau saya katakan, kenangan bersama arwah masih lagi kuat dan akan sentiasa ada.

“Kerana itu juga, barang-barang milik Muhammad Adib kita simpan elok-elok untuk terus di hargai dan diingati, kita sebenarnya dalam proses menyediakan satu memorial yang menempatkan pakaian seragam serta helmet dia,” jelasnya.

Allahyarham Muhammad Adib yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 23 Disember lalu cedera parah selepas dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, 27 November lalu.

Selepas kecederaan parah itu, Muhammad Adib dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira 1 pagi sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur keesokan malamnya.

Bagaimanapun, Muhammad Adib disahkan meninggal dunia di IJN pada jam 9.41 malam, 17 Disember lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast