Muhyiddin Yassin

SEMENYIH – Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Marzuki Yahya dikekalkan jawatannya di dalam parti.

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberitahu, Marzuki telah memberi penjelasan sebenar berhubung isu pendidikannya yang menjadi pertikaian sebelum ini.

“Saya sudah berbincang dan dia sudah menjelaskan hakikat sebenar dan perkara itu sudah memadai walaupun mungkin ada pihak lain yang tidak berpuas hati.

“Perkara ini sudah selesai dan saya setuju dengan prinsip tidak berbohong kerana Pakatan Harapan khususnya Bersatu memegang teguh pada integriti dan jujur.

“Mungkin org tak puas hati, itu soal lain lah, tapi penting untuk dia jelaskan hakikatnya dan dia telah menafikan, dia tak pernah kata dia duduki sijil University of Cambridge (di UK), dia kata dia daripada Cambridge USA, saya pun tak tahu sangat.

“Orang boleh spin, tapi bagi saya cukup, memadai (kenyataan itu),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini hari ini.

Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar, sebelum ini menyerahkan nasibnya kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepemimpinan Bersatu selepas didakwa memalsukan status ijazahnya.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, Bersatu juga tidak akan mengambil tindakan terhadap Marzuki berhubung perkara tersebut.

Pada 6 Februari lalu, Marzuki menjelaskan ijazahnya di dalam pentadbiran perniagaan dari Cambridge International University (CIU) yang berpengkalan di Amerika Syarikat.

Kelayakan akademik beliau dipertikaikan selepas suatu laporan polis dibuat mendakwa Marzuki berbohong mendapatkan ijazahnya dari University of Cambridge di United Kingdom. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast