Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Nik Abduh Nik Aziz akhirnya mengakui beliau adalah pemilik suara dalam audio yang tular selepas menafikannya sebelum ini.

Malah Ahli Parlimen Bachok itu mendakwa penafiannya ketika itu dibuat atas restu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

Dalam kenyataan di media sosial hari ini, anak bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu menegaskan penafiannya itu juga mendapat restu pimpinan Pas lain.

Apabila rakaman audio itu mula tersebar, Nik Abduh berkata, dia ada dua pilihan iaitu bercakap benar atau menafikannya.

“Saya memilih yang pertama. Ia mudah. Bercakap benar akan membebaskan kita. Bohong adalah penjara yang memerangkap diri sendiri. Saya memilih untuk berterus terang sahaja. Saya yakin isi ucapan saya akan mudah sahaja difahami jika difahami konteksnya.

“Tetapi saya sedar, ia bukan sekadar soal nama baik peribadi saya. Saya mewakili parti Pas dalam masyarakat. Rakaman itu walaupun bertujuan menjatuhkan reputasi saya, ia segera sahaja disambar oleh musuh sebaik tular untuk menjatuhkan Pas.

“Belum sempat ahli Pas marahkan saya, musuh-musuh politik Pas telah merayakannya. Nyamuk belum mati, api sudah menyambar kelambu.

“Apabila saya merujuk kepada beberapa pimpinan parti yang sudah pun memahami isu ini dengan baik, mereka memutuskan agar saya menafikannya.

“Sengit juga saya enggan dan menolak tetapi mereka berkeras meminta saya menafikannya. Fitnah mesti ditutup, itu hujah mereka,” kata Nik Abduh.

Dalam kesukaran, beliau memohon jawaban daripada Abdul Hadi dan Presiden Pas juga mahu beliau menafikannya.

“Saya akur dan gembira menerima mandat,” katanya.

Lagi pun, strategi itu – sama ada mengaku atau menafikannya adalah syarie, katanya.

Penafian itu seterusnya didakwa berkesan mengekang Pas daripada terus difitnah oleh musuh-musuhnya.

Pengakuan beliau mungkin dibuat selepas Setiausaha Pas, Datuk Takiyuddin Hassan sendiri menyatakan suara dalam audio itu milik Nik Abduh baru-baru ini seterusnya menjadikannya bahan kecaman musuh politiknya.

Dalam pada itu, Nik Abduh juga mendedahkan setiap kali diminta memberi keterangan berhubung isu yang sama, beliau mengakui suara itu miliknya.

Namun beliau meminta kebenaran daripada pihak berkuasa selepas itu untuk menafikannya kepada umum sebagai hak menjaga kerahsiaan seperti ditekankan dalam Islam.

Nik Abduh dalam ulasannya panjang lebar itu berkata, ucapannya dalam audio itu adalah dalam konteks hukum bukan memperakui bahawa Pas telah menerima wang rasuah dan sogokan daripada UMNO.

“Ia tidak benar sama sekali. Justeru saya menamakannya sebelum ini sebagai audio karut, mengarut dan fitnah,” katanya.

Akhirnya, beliau berterima kasih kepada seluruh ahli, penyokong dan rakyat yang menerima dengan hati terbuka kenyataan penafiannya setahun lalu.

“Ia berjaya meneguhkan parti Pas untuk melangkah memasuki pilihanraya umum baru-baru ini,” katanya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mmm, you had to lie because PAS wanted to WIN THE PRU 14. Even after the PRU 14, you still stick to your lie until more evidences emerged to prove you indeed had lied!

    What more amazing, you now went on to explain your Party knew of your lie, and you felt happy, to be given the mandate to lie until the public start to know abt it?

    What kind of ‘RELIGION’ you & your Party had been practising & subscribing?

    ..or best to say, what kind of religion you and your party are organizing…

Comments are closed.