SUBANG JAYA – Ikan Arowana milik arwah anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang diambil di rumah sewa arwah kini menjadi ‘ahli keluarga’ Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, ikan daripada spesis mahal itu sebagai tanda ingatan dan kenangan manis JBPM Subang Jaya bersama Muhammad Adib.
“Kami memohon kebenaran ayah Muhammad Adib (Mohd Kassim Abdul Hamid) untuk mengambil ikan yang dibela arwah di rumah sewanya di Subang Jaya.
“Ikan berkenaan dipelihara dalam sebuah akuarium yang ditempatkan dalam Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.
“Ini sebagai kesinambungan kepada kenangan kami sepanjang bertugas bersama Muhammad Adib,” katanya ketika ditemui di JBPM Subang Jaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Shahril Anuar berkata, pihaknya mengambil ikan dari spesis termahal itu beberapa hari selepas Muhammad Adib menghembuskan nafas di Institut Jantung Negara (IJN).