Rangka pintu kenderaan Pasukan Bomba dan Penyelamat yang tercabut akibat insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 27 NOVEMBER 2018.
SHAH ALAM, 14 Feb (Bernama) — “Jangan padam, pukul bomba,” itu yang didengari seorang anggota bomba ketika turun dari jentera bomba untuk memadamkan api semasa insiden kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, November tahun lepas.

Mohd Sharol Anuar Kamarudin, 26, seorang anggota pemadam dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang menceritakan detik-detik cemas itu berkata pihaknya menerima panggilan 1.02 pagi, 27 Nov lepas yang memaklumkan ada kereta terbakar di tempat kejadian tersebut.

Katanya setibanya di tempat kejadian seminit kemudian, beliau yang duduk sebelah kiri bahagian belakang jentera FRT terus terjun dari jentera terbabit untuk melakukan operasi pemadaman.

“Setelah terjun, saya nampak tiga orang meluru ke arah saya dalam jarak lima hingga enam meter. Masa itu, saya dengar ‘Jangan padam, pukul bomba’.

“Lepas itu, saya terus naik dan duduk di bahagian tengah jentera secara melutut,” katanya pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Saksi ketujuh itu berkata dia turut melihat beberapa orang awam bersenjatakan batang besi panjang, objek seperti pedang samurai dan batu-bata.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Zhafran Rahim Hamzah pada hari keempat prosiding inkues kematian Muhammad Adib.

ZHAFRAN: “Kamu kata kamu terus terjun keluar. Selepas itu”

SHAROL: “Saya nampak ada tiga orang meluru ke arah saya.”

ZHAFRAN: “Ada mereka buat apa-apa”

SHAROL: “Saya nampak besi seperti batang besi (palang) jaring takraw. Ada besi panjang macam pedang samurai.”

ZHAFRAN: “Apa perasaan kamu”

SHAROL: “Tergamam. Kita nak pergi padam api. Saya dengar dia cakap macam ugut.”

ZHAFRAN: “Ingat tak apa yang dia kata”

SHAROL: “Yang saya dengar dia kata, ‘jangan padam, pukul bomba’. Terus saya naik (FRT) balik.”

Saksi itu berkata, selepas menaiki FRT, dia mendengar bunyi hentaman dari arah depan FRT sebelum cermin hadapan jentera itu pecah.

“Saya naik balik dan jentera FRT mula undur. Dari situ saya nampak van EMRS (yang mengekori saya dari belakang) kepalanya di depan jentera kami.

“Selepas itu, saya nampak van EMRS dikerumuni orang ramai. Selepas itu, saya tak nampak apa-apa dah,” katanya.

Beliau juga berkata kehilangan Muhammad Adib disedari selepas jentera FRT dan EMRS meninggalkan tempat kejadian dan seorang anggota bomba cuba menghubungi Muhammad Adib tetapi panggilan tidak dijawab.

“Call (panggilan) sekali lagi ada orang angkat. Katanya Adib dihantar ke hospital. Keadaannya 50-50,” katanya.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung 9 pagi esok dengan dua saksi lagi akan memberikan keterangan.

— BERNAMA