Azhar Azizan
Pengerusi Suhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan bercakap kepada media selepas membuat lawatan mengenai persiapan Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 15 FEBRUARI 2019

KAJANG – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan bahawa sejumlah 13 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih telah diambil.

Menurut Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, Barisan Nasional (BN) merupakan pembeli borang terbanyak dengan lima borang.

“Setakat ini sudah 13 borang diberi oleh individu-individu daripada parti berbeza. BN telah beli 5, PPBM beli 3 borang, Parti Sosialis Malaysia (PSM) satu borang, manakala calon bebas empat borang,” katanya ketika membuat lawatan ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang hari ini.

Azhar mengambil masa kira-kira 30 minit bagi meninjau persiapan SPR bagi menghadapi proses penamaan calon esok.

Hadir sama Pegawai Pengurus PRK Semenyih, Datuk Mohd Sayuti Bakar.

Seramai 54,503 pengundi Semenyih akan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 2 Mac depan bagi memilih wakil terbaru mereka di DUN.

PRK Semenyih diadakan ekoran kematian penyandangnya, dari Pakatan Harapan (PH), Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (Pas) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. -MalaysiaGazette