SHAH ALAMĀ – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sewajarnya mengadakan rundingan dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum parti pemerintah itu melebarkan sayapnya ke negeri tersebut.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi mewujudkan persefahaman dalam usaha mengelakkan perbalahan seperti mana yang dijanjikan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak memasuki Sabah sebelum ini.
“Oleh kerana hubungan kita dengan Warisan itu baik, saya fikir baik apa pun keputusan harus berunding dan ada kesefahaman, ini cara kita dalam parti begitu.
“Walaupun Bersatu sudah buat kenyataan tapi saya fikir sebaiknya dirundingkan terus supaya tiada ketegangan antara parti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berucap pada Syarahan Darul Ehsan di Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Shah Alam, di sini, hari ini.
Jumaat lalu Dr Mahathir mengesahkan PPBM tetap akan memasuki Sabah meskipun keputusan itu tidak akan disenangi oleh rakan sekutunya, Warisan.
Pengerusi PPBM itu berkata, tindakan tersebut bukan untuk menukar kerajaan negeri, sebaliknya mahu mengukuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Dr Mahathir berkata, langkah itu juga bagi memudahkan urusan PPBM dengan bekas ahli UMNO yang menyertai parti pemerintah itu.
Sebelum ini, Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan menegaskan PPBM perlu terus berpegang kepada janji untuk tidak melebarkan sayap ke Sabah sepertimana yang dipersetujui sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – MalaysiaGazette
100,000 mohon jadi ahli Bersatu di Sabah – Ronald
Pengerusi PKR Sabah terkejut Bersatu mahu masuk ke negeri itu