Datuk Christina Liew.

KUALA LUMPUR – Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu melebarkan sayap ke Sabah ternyata mengejutkan banyak pihak termasuk Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Christina Liew.

Beliau yang ditemui wartawan selepas satu majlis di Kota Kinabalu malam tadi berkata, ini kerana telah wujud persetujuan di antara Pengerusi Bersatu, Tun dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Mohd Shafie Apdal semasa Pilihan Raya Umum ke-14.

“Ketika PRU14, mereka (Bersatu) tidak masuk ke Sabah di atas persetujuan untuk menyerahkannya kepada Warisan bersama-sama PKR dan DAP.

“Tiba-tiba sekarang mereka mahu masuk ke negeri ini dan bekas ahli-ahli UMNO termasuk wakil rakyat akan menyertai Bersatu” katanya memetik laporan Bernama.

Sehubungan dengan itu, Liew yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menyerahkan kepada Shafie dan Dr Mahathir untuk berbincang lebih lanjut mengenai perkembangan terbaharu itu.

Mengulas lanjut, katanya, apa yang pasti Shafie sedang menerajui Sabah dengan baik dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan bagi membolehkan projek-projek pembangunan dilaksanakan di negeri itu.

“Ini adalah hasil kerjasama era tantara Warisan, PKR, DAP dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko),” katanya.

Beliau berkata, majoriti penduduk Sabah memberi sokongan kepada kepimpinan Shafie.

Jumaat lalu Dr Mahathir mengumumkan keputusan Bersatu untuk masuk ke Sabah bagi membolehkan bekas ahli-ahli UMNO menyertai parti itu.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana bekas ahli UMNO enggan menyertai Warisan yang merupakan sekutu Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Bersatu masuk Sabah

100,000 mohon jadi ahli Bersatu di Sabah – Ronald

Bersatu ada hak, kata Anwar

TERKINI : PPBM MASUK KE SABAH! ”Ramai Bekas Ahli UMNO Sabah Ingin Masuk Bersatu” – Tun M