Mustafa Kamal Abdul Rahman
Naib Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Jelebu selaku pemain drum, komposer dan penulis lirik kumpulan muzik metal Farasu, Mustafa Kamal Abdul Rahman bercakap mengenai masa depan industri muzik kepada wartawan Malaysia Gazette, baru-baru ini.

KUALA LUMPURĀ – Fenomena ‘malu apa bossku’ yang dibawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dikatakan antara faktor penyumbang kepada kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada 26 Januari lalu.

Namun fenomena itu tidak boleh dikitar semula dan digunakan dalam PRK Semenyih kerana sentimen di Selangor sangat jauh berbeza berbanding di Pahang yang masih dikuasai oleh BN.

Imej Najib sebagai liabiliti masih menghantui rakyat Selangor malah rekod tiga PRK bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong tahun lepas menunjukkan BN masih ditolak rakyat walaupun ada penurunan majoriti undi kepada Pakatan Harapan (PH).

Menurut Naib Ketua PKR Cabang Jelebu, Mustafa Kamal Abdul Rahman, imej Najib yang tercalar akibat tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd sukar meyakinkan rakyat Selangor meskipun BN berjaya mempertahankan kerusi Cameron Highlands bulan lepas.

Katanya, setelah BN mempertahankan kemenangan di Cameron Highlands, moral BN sedikit melonjak dengan propaganda ‘kegagalan kerajaan memenuhi janji-janji manifesto PRU-14’ terus dimainkan sehingga sebahagian penyokong dan pengikut PH terpengaruh lalu mulai mengkritik sambil menyerang.

Namun begitu suasana cukup berbeza di Semenyih. Ramai mungkin terlupa peranan penting yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak 2008 yang masih konsisten hingga ke hari ini.

Prestasi tadbir urus cekap

Sama ada semasa era Pakatan Rakyat (2008-2015), Pakatan Selangor (2015-2018) dan kini PH, sama ada diketuai oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kini Amirudin Shari, rakyat Selangor merasai perkembangan serta peningkatan tadbir urus serta dasar-dasar kerajaan negeri secara positif.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan prestasi Kerajaan Negeri Selangor lebih mendepani Kerajaan Persekutuan PH dari sudut menunaikan janji pilihan raya, kebajikan rakyat, pembangunan mapan ekonomi serta infrastruktur dan modal insan. Ia telah berlangsung 10 tahun secara konsisten.

Kaji selidik semasa menunjukkan 61 peratus rakyat Selangor berpuas hati dengan hala tuju Kerajaan Negeri Selangor. Ini menjelaskan bahawa Menteri Besarnya, Amirudin Shari telah memberi impak positif kepada kesinambungan tadbir urus cekap negeri ini.

Mustafa Kamal juga berkata, faktor ini menjadi asas utama bahawa PH Selangor mampu mempertahankan kemenangan di Semenyih berdasarkan prestasi tadbir urus pemerintahan sepanjang sedekad ini.

Dakwanya, BN sendiri kehilangan modal kempen kerana mereka giat bertumpu kepada isu-isu manifesto Kerajaan Persekutuan sambil memainkan sentimen perkauman berbanding isu tempatan.

Kerusi N24 Semenyih mempunyai 69 peratus pemilih Melayu. Isu-isu berkaitan sentimen orang Melayu akan menjadi modal berharga UMNO-BN bagi meraih undi sambil mengalih 10 peratus sokongan pengundi atas pagar.

PH kukuh politik Melayu

BN sangat berjaya menggunakan sentimen ‘DAP menunggangi PH’ di Cameron Highlands. Segelintir para pengkritik politik juga terlupa bahawa Pahang masih utuh sokongan politik kepada UMNO-BN dan tidak menghairankan propaganda mereka berjaya menangkis susupan PH ke kawasan-kawasan majoriti Melayu di Cameron Highlands.

PH memenangi 51 daripada 56 kerusi Dun Selangor. Persoalannya, apakah dakyah BN bahawa DAP menunggangi PH berlaku di Selangor?

PH lebih mengukuhkan kedudukan politik Melayu di Selangor. Sejumlah 33 orang wakil rakyat PH adalah daripada orang Melayu. Malah DAP sendiri mempunyai dua wakil rakyat Melayu di Dun Dusun Tua dan Bandar Utama.

Jika dipecahkan mengikut komponen PH, PKR mempunyai 17 wakil rakyat Melayu diikuti Amanah (9), Bersatu (5) dan DAP (2).

Mustafa Kamal turut berkata, rakyat Selangor lebih memahami suasana di dalam negeri. Dakyah perkauman BN dan sekutu pembangkangnya memainkan isu-isu Melayu dan Islam lebih bersifat propaganda berbanding hakikat isu.

Kerajaan Negeri Selangor sejak 2014, iaitu semasa diketuai oleh Mohamed Azmin sebagai menteri besar telah mengangkat kedudukan institusi-institusi agama Islam sama ada sekolah-sekolah agama, masjid, surau dan madrasah dengan pelbagai intensif serta inisiatif.

Kepimpinan Selangor baharu di bawah Amirudin juga telah menggerakkan program turun ke peringkat akar umbi sejak hujung 2018 melalui siri Jelajah Maju Bersama ke beberapa daerah di Selangor termasuk Petaling, Sepang, Kuala Selangor dan Hulu Langat.

Najib liabiliti BN

Keseronokan Najib selaku bekas Presiden UMNO turun berkempen di Semenyih untuk menunjukkan keberkesanan kempen beliau di Cameron Highlands sepatutnya menyedarkan para strategis BN.

Mustafa Kamal berkata, faktor demografi di Selangor tidak memihak kepada populariti ‘bossku’ malah meningkatkan kebencian rakyat terbanyak.

Isu-isu penyelewengan 1Malaysia Development (1MDB) masih mempengaruhi sebahagian besar rakyat di Selangor susulan capaian maklumat rakyat di Semenyih lebih tinggi berbanding di DUN Jelai, Pahang.

Kehadiran ‘mengejut’ Najib ke Tesco Semenyih kemudiannya mudah dipintas dengan maklumat-maklumat rambang yang disebar melalui media sosial bahawa berlaku ‘kerahan berpasukan’ ahli-ahli dan penyokong UMNO di Semenyih.

Ia bertujuan untuk memperlihatkan Najib masih diminati rakyat dan perkara ini tidak terjadi di Cameron Highlands kerana BN mudah menguasai ‘ground’, namun di Semenyih penguasaan itu berbeza padang.

Kekuatan dan Kelebihan

BN dilihat berkubu di daerah-daerah mengundi yang masih memberi sokongan kepada mereka. Kawasan-kawasan selatan N24 Semenyih seperti Sungai Kembung, Kuala Pajam, Sungai Jai, Rinching, Sesapan Kelubi, Beranang dan Sesapan Batu Rembau masih memberi undi signifikan kepada BN sejak PRU14 lalu.

Calon BN merupakan anak tempatan dari Sesapan Batu Rembau. Ini antara strategi BN bagi mempertahankan perolehan undi di kawasan-kawasan kampung tradisional yang didiami majoriti oleh orang Minang.

Sentimen kekeluargaan di kawasan-kawasan berdekatan sama ada Beranang, Sesapan Kelubi, Sesapan Batu Rembau, Sungai Kembung, Sungai Jai dan Kuala Pajam dijangka menjadi sandaran undi buat calon BN.

Perkembangan urbanisasi di Semenyih memperlihatkan kewujudan perbandaran baharu seperti Bandar Tasik Kesuma, Bandar Mahkota, Bandar Teknologi Semenyih telah mempelbagaikan ciri-ciri demografi N24 Semenyih.

Istimewanya lokaliti atau petempatan baharu ini didiami oleh majoriti orang Melayu. Berbeza dengan pekan atau bandar lama seperti Semenyih dan Beranang didiami majoriti oleh orang Cina.

Lokaliti-lokaliti ini menjadi ‘garis medan pertempuran’ kerana ia menjadi penentu kemenangan antara PH dan BN. Begitu juga kepada calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dijangka meraih sebahagian undi signifikan daripada kawasan-kawasan perbandaran.

Jangkaan bahawa PSM akan meraih undi asas mereka iaitu sekitar 3,000 hingga 5,000 undi. Namun pengaruh PSM untuk menembusi kawasan-kawasan tradisional Melayu dianggap sukar.

Berdasarkan kedudukan tadbir urus di samping pelaburan ekonomi yang baik oleh kerajaan negeri, PH Selangor tidak berhadapan masalah jentera yang bakal melancarkan gerakan kempen dan penerangan.

Akan tetapi saingan BN dan PSM tidak boleh dianggap mudah kerana kesilapan merancang strategi akan mengugat taktikal kempen.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu mempertahankan kemenangan di Semenyih sebagai aras petunjuk samada orang Melayu di Semenyih sudah cukup tekad menolak UMNO atau sebaliknya. – MalaysiaGazette