Ketua Pemuda Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tiga kanan) bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Pemuda Pakatan Harapan Malaysia sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Bilik Gerakan Utama Pemuda, Semenyih. foto SYAFIQ AMBAK, 20 FEBRUARI 2019

SEMENYIH- Calon Pakatan Harapan (PH) PRK DUN Semenyih, Muhammad Aiman Zainali memang jenis kurang bercakap tetapi banyak berkhidmat.

Itu penjelasan Ketua Pemuda ARMADA Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai sikap anak menantu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor itu.

Menurut Menteri Belia dan Sukan itu, pihaknya tidak ada masalah sekiranya calon PH kurang bercakap.

“Bab Aiman, kalau kita lihat dari dulu lagi, dia jenis orang kurang bercakap tetapi lebih berkhidmat. Saya menghormatinya (Aiman) sebab itu kelebihan beliau.

“Lagi pun paling mustahak, dia cakap apa yang dia nak bawa kalau menang dan diberi mandat,” katanya dalam sidang media di Beranang malam tadi.

Syed Saddiq sebelum itu diminta mengulas mengenai komen ramai mengenai Mohamad Aiman yang dianggap tidak kurang lantang semasa berkempen sehingga dalam sidang media pun pengikutnya kadangkala menjawab bagi pihaknya.

Ia menyebabkan mencetuskan kritikan orang ramai tentang keupayaan Aiman sebagai bakal wakil rakyat.

Syed Saddiq berkata, perkara itu tidak seharusnya menjadi isu yang serius.

Terdahulu, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Pemuda Pakatan Harapan (PH) PRK DUN Semenyih selama dua setengah jam.

Syed Saddiq juga menjelaskan, PH telah turun sebagai satu keluarga dalam PRK Semenyih dengan mendahulukan politik khidmat kepada pengundi berbanding bercakap banyak.

Dalam satu lagi perkembangan, Syed Saddiq turut diminta komen mengenai keengganan Muhamad Aiman untuk berdebat dengan calon-calon lain.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, sebenarnya Muhammad Aiman tidak mahu menyertai debat kerana calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi sendiri telah menarik diri.

Ditanya kewajaran Aiman menarik diri memandangkan debat itu sepatutnya dijadikan platformnya mengemukakan agenda perjuangan PH selain pentas untuk pengundi menilai keupayaan calon, Syed Saddiq berkata;

“Kamu kena ada calon untuk debat khususnya calon utama kalau tidak ia hanya menjadi ucapan biasa,” katanya. – MalaysiaGazette