Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan telah menemui satu objek yang timbul di sungai itu kira-kira pukul 2.15 petang.

KLUANG – Mayat dipercayai seorang wanita dijumpai dalam keadaan lehernya terjerut di Sungai Parit Haji Hashim, Simpang Renggam, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan telah menemui satu objek yang timbul di sungai itu kira-kira pukul 2.15 petang.

Sebaik pemeriksaan awal dilakukan di lokasi terbabit, satu mayat yang dipercayai wanita terapung dalam keadaan mengiring dan berada bersebelahan dengan tebing sungai itu.

“Setelah mayat dibawa keluar oleh anggota bomba, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melakukan pemeriksaan dan menganggarkan mangsa berkenaan telah meninggal dunia antara tiga hingga empat hari.

Manakala usia, bangsa dan umur mangsa tidak dapat dipastikan kerana keadaan mayat yang hampir reput,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Mohd Abduh berkata melalui pemeriksaan lanjut, didapati terdapat dua lilitan kain yang digunakan untuk menjerut leher mangsa dan terdapat kesan plastik terbakar melekat pada seluar jeans biru serta baju berwarna coklat yang dipakai mangsa.

Katanya, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada badan mayat itu.

“Mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semakan rekod orang hilang sedang dijalankan dan usaha untuk mengesan serta menangkap suspek sedang giat dilaksanakan bagi membantu siasatan,” kata beliau.

Mohd Abduh berkata pada sesiapa yang kehilangan anggota keluarga diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes itu ASP K Karthiggaibalan di talian 019-577 7221 untuk proses pengecaman mayat.

— BERNAMA