Chegubard
Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard

KUALA LUMPUR – Rakyat Negeri Sembilan dibimbangi terpaksa menanggung mutu perkhidmatan Internet jalur lebar yang mengecewakan dengan bayaran tinggi sekiranya kontrak pengendalian menara telekomunikasi diberikan sepenuhnya kepada syarikat YTL Communications.

Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, masalah sama akan berulang seperti mana yang ditanggung oleh Kementerian Pendidikan setelah syarikat itu didakwa gagal menyempurnakan kontrak 1Bestarinet sebelum ini.

“Bayangkan Kementerian Pendidikan terperangkap sekian lama dengan masalah YTL tidak mampu berbuat apa.

“Bagaimana pula nanti dengan Negeri Sembilan yang mangsanya ialah rakyat negeri ini seperti mana warga Kementerian Pendidikan,” katanya dalam entri terbaru di blognya, semalam.

Minggu lalu, beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard mengingatkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun tidak mengulangi kesilapan Barisan Nasional (BN) dengan melantik syarikat berkenaan untuk mengendalikan menara telekomunikasi di negeri itu.

Dakwnya, kegagalan YTL memenuhi kontrak memasang rangkaian Internet jalur lebar 1BestariNet di 1003 sekolah sebelum ini, harus dijadikan sebagai kayu pengukur sebelum lantikan itu dibuat.

Badrul Hisham menambah, Aminuddin juga perlu mengambil berat berhubung laporan penuh Kementerian Pendidikan mengenai prestasi YTL apabila 1Bestarinet tidak diteruskan di peringkat fasa 3 bersama syarikat itu.

“Kementerian Pendidikan telah memanggil RFI (pelawaan memberi maklumat) dengan menjemput pelbagai pihak dan menurut sumber tersebut, YTL tidak dipanggil.

“Tindakan ini sangat difahami kerana kegagalan YTL sebelum ini. RFP (permintaan untuk cadangan) akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Namun ia bukan proses mudah, Kementerian Pendidikan masih bergelut dalam mengenal pasti dan menyusun terma dan teknikal undang-undang dalam mengenepikan YTL.

“Dalam masa sama, YTL masih cuba bertahan dalam lubuk emas 1Bestarinet,” katanya.

Bagaiamanapun beliau hairan dengan Kerajaan Negeri Sembilan yang berminat dan mahu menjerumuskan diri bersama YTL dalam bidang telekomunikasi ini.

“Saya masih tidak mahu beranggapan negatif walaupun telah dihantar oleh beberapa sumber dengan beberapa fakta, dokumen dan gambar yang boleh menjelaskan kenapa YTL yang jelas gagal dalam bidang telekomunikasi masih mendapat tempat di Negeri Sembilan.

“Dalam simpanan antaranya gambar kemunculan seorang Datuk dari syarikat tersebut dalam beberapa pertemuan tertutup bersama pimpinan utama. Ia mungkin kebetulan.

“Namun jika YTL masih mendapat tempat maka sudah tentu pendedahan lanjut tidak dapat dielakkan,” katanya.

Dalam entri terbarunya semalam, Badrul Hisham turut mendedahkan beberapa dokumen sulit milik Kementerian Pendidikan mengenai laporan penuh projek 1Bestarinet mengenai rekod kerja syarikat itu.

“Saya mendapat kiriman dokumen ‘sulit’ dari dalam Kementerian Pendidikan yang merupakan laporan penuh 1Bestarinet.

“Sangat jelas dalam laporan itu menyatakan dengan jelas berapa banyak kementerian ‘dipaksa’ membelanjakan berbilion wang untuk perkidmatan yang sangat teruk.

“Walaupun aduan dibuat namun tidak diendahkan. Malah di peringkat Fasa 2 dinyatakan dengan jelas ia ditamatkan namun terpaksa diteruskan kerana ‘tekanan politik’.

“Walaupun perkhidmatan jelas tidak memenuhi apa yang dijanjikan namun bayaran jauh lebih mahal dari nilai perkhidmatan yang boleh diperolehi di pasaran yang jauh lebih baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast