Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Tugas hakiki mereka ialah menyiasat dan menangkap penjenayah, tetapi hari ini seorang anggota polis wanita menjadi mangsa jenayah apabila beg tangannya diragut di Jalan Sultan Sulaiman di sini.

Ketika kejadian pada pukul 11.15 pagi ini, anggota berpangkat Detektif Sjn berusia 59 tahun itu dilaporkan diragut seorang lelaki yang menaiki motosikal, ketika berada di hadapan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad.

Difahamkan mangsa yang bertugas di bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, berpakaian biasa datang ke koperasi itu untuk mengeluarkan wang yuran simpanan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah ketika dihubungi berkata lelaki yang menunggang motosikal itu menghampiri mangsa dari arah belakang lalu meragut beg tangan yang disandang pada bahu kanan mangsa.

“Penunggang motosikal itu kemudian melarikan diri…kejadian begitu pantas dan pengadu tidak sempat berbuat apa-apa,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati beg tangan mangsa mengandungi wang tunai RM50, kad pengenalan dan beberapa kad lain dan polis kini meneliti rakaman kamera litar tertutup bagi mengenal pasti identiti suspek.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast