KUALA LUMPUR – Sebuah premis hiburan di Puchong beroperasi tanpa lesen dan telah 10 kali diserbu polis masih meneruskan operasi seperti biasa seolah-olah semua tindakan penguatkuasaan tidak meninggalkan kesan sebelum ini.

Awal pagi ini, premis yang menempatkan pusat karaoke dan pub di tingkat bawah itu sekali lagi diserbu polis Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Seramai 24 pelayan pelanggan (GRO) rakyat asing berusia antara 20 sehingga 30 tahun serta 22 pekerja lelaki, juga rakyat asing, bersama 142 pelanggan ditahan dalam operasi polis yang bermula pada pukul 1 pagi itu.

“Premis ini telah menjangkau usia lima tahun dan telah diserbu sebanyak 10 kali oleh polis namun masih berdegil…,” kata Pegawai Turus D7 Selangor, DSP Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin kepada pemberita yang mengikuti operasi di sebuah pusat karaoke di Jalan Puteri 1/4, Puchong di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis terpaksa menunggu sehingga 20 minit untuk memasuki premis itu apabila premis berkenaan mematikan muzik, seolah-olah ia tidak beroperasi.

“Macam tutup…kami terpaksa pecah masuk sebab tiada siapa yang respons panggilan kami,” katanya sambil memberitahu pihaknya turut merampas peralatan audio visual dan resit-resit perniagaan.

Mohd Khaizam berkata, GRO terdiri daripada 19 warga Vietnam, tiga warga Laos dan dua rakyat Thailand itu ditemui bersembunyi di sebalik kabinet penyimpanan minuman keras yang mempunyai pintu rahsia. Kesemua mereka didapati menyalah guna pas lawatan sosial.

Kesemua GRO itu dipercayai mengenakan bayaran bermula RM160 untuk tempoh empat jam dan cas tambahan akan dikenakan jika pelanggan ingin menempah lebih awal.

Beliau berkata, pekerja asing yang ditahan pula terdiri daripada 19 rakyat Bangladesh dan tiga Myanmar dan kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Daerah(IPD) Serdang untuk siasatan lanjut dan saringan ujian air kencing. Kami mengesyaki mereka (pelanggan) ada terlibat dalam pengambilan dadah,” katanya. – Bernama