KUALA LUMPUR – Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita berkaitan kematian pelakon AR Badul.
Menurut DJ Dave, beliau sendiri mendapat banyak panggilan telefon dan mesej bertanyakan hal itu pada awal pagi semalam.
“Satu sikap yang tidak baik apabila ada pihak yang sebarkan berita palsu berkaitan kematian AR Badul.
“Baru sebentar tadi saya sendiri bercakap dengan AR Badul. Dia sudah keluar hospital dan keadaannya sudah semakin baik.
“Sekarang AR Badul sedang berehat di kampung, di Pahang sesudah beberapa hari keluar dari Institut Jantung Negara (IJN),” kata DJ Dave dalam satu kenyataan kepada media.
Berharap agar cerita tidak elok sebegini dihentikan segera, menurut DJ Dave, berita kematian sesiapa sahaja perlu disahkan oleh anggota keluarga sendiri.
“Jika tidak sahih berita itu, janganlah kita tulis di media sosial mahupun bercerita kepada pihak lain.
“Cerita tidak betul seperti ini akan menimbulkan panik kepada orang lain dan menyebabkan perasaan artis itu sendiri tercalar,” nasihat Dave yang turut melawat AR Badul di IJN pada Isnin lalu.
AR Badul telah menjalani pembedahan angiogram di IJN pada Ahad lalu dan dijangka menjalani pembedahan kedua pada awal Mac ini. – MalaysiaGazette